Wenger sifatkan Barcelona tak matang

ARSENE Wenger mempersoalkan tahap kematangan skuad Barcelona selepas tewas 1-2 kepada Real Madrid, sambil menyifatkan pertembungan panas El Clasico itu sebagai aksi yang sememangnya memihak kepada pasukan tuan rumah.
Dalam perlawanan penuh dramatik itu, Jude Bellingham menjadi wira apabila membantu Kylian Mbappe menjaringkan gol pembukaan melalui hantaran cantik sebelum menyumbat sendiri gol kemenangan yang memastikan Real Madrid mendahului lima mata di puncak La Liga.
Barcelona sempat menyamakan kedudukan menerusi jaringan Fermin Lopez pada minit ke-38, namun Bellingham sekali lagi menghukum pasukan lawan dengan gol di penghujung babak pertama, mencetuskan sorakan gemuruh penyokong di Santiago Bernabeu.
Madrid berpeluang menambah jaringan di awal babak kedua selepas Eric Garcia melakukan kesilapan dengan bola terkena tangan dalam kotak penalti, namun sepakan Mbappe berjaya diselamatkan Wojciech Szczesny.
Kegagalan itu tidak menjejaskan Real Madrid yang kekal utuh sehingga wisel penamat, sekali gus mencatat kemenangan kelima berturut-turut dalam semua kejohanan.
Pertemuan tegang itu turut menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas Pedri dan Andriy Lunin dilayangkan kad merah pada penghujung permainan.
Ketika mengulas di studio beIN SPORTS, Wenger memuji prestasi Real Madrid sambil mengkritik aksi tumpul Barcelona yang disifatkannya tidak berkesan dan kurang tenaga menyerang.
“Xabi Alonso menyusun pasukannya dengan baik hari ini dan secara keseluruhan, saya boleh katakan ada beberapa bahagian di mana ia seperti ‘lelaki menentang budak-budak’,” ujar bekas pengurus Arsenal itu.
“Sebagai contoh, pertahanan Real Madrid jauh lebih kukuh berbanding Barcelona. Dari segi serangan pula, Madrid sentiasa kelihatan mampu menambah jaringan, sementara Barcelona kelihatan tumpul tanpa Robert Lewandowski dan Raphinha.
“Barcelona banyak menguasai bola pada separuh masa kedua selepas Mbappe terlepas penalti, tetapi mereka langsung tidak kelihatan mampu menjaringkan gol. Saya beri pujian kepada Xabi Alonso kerana mengekalkan keseimbangan pertahanan Madrid dengan sangat baik," katanya.
Wenger turut berpendapat Barcelona kekurangan kepimpinan dan pengalaman, lebih-lebih lagi dengan ketiadaan Lewandowski, Raphinha serta pemergian Inigo Martinez pada musim panas lalu.
“Apabila anda cuba menyeimbangkan pasukan dan memberi motivasi semula kepada pemain, anda perlu tetapkan sasaran untuk memperbaiki prestasi musim sebelumnya.
“Tetapi bagi kes Barcelona, saya rasa kehilangan Inigo Martinez memberi kesan besar kerana dia antara pemain paling berpengalaman di bahagian pertahanan. Pada gol yang dijaringkan Mbappe, kita dapat lihat barisan pertahanan mereka benar-benar kekurangan kematangan dan pengalaman," katanya.
Menurut Wenger lagi, skuad bimbingan Barcelona itu jelas tidak matang dan akhirnya tewas kepada pasukan yang lebih lengkap dan berpengalaman.
“Prestasi Barcelona hari ini kurang matang ketika berdepan detik-detik penting. Dalam perlawanan besar, itulah saat yang paling menentukan.
“Lihat sahaja Mbappe, dia tahu peranannya dan hanya fokus untuk membuat larian di belakang pertahanan. Dia percaya jaringan akan datang. Dia juga beritahu rakan sepasukannya untuk sentiasa mencari dia setiap kali mereka mendapat bola.
“Hantaran daripada Jude Bellingham memang luar biasa, dan hari ini Barcelona tiada pemain yang mampu melakukan sesuatu seperti itu," katanya.
Ringkasan AI
- ARSENE Wenger mempersoalkan kematangan skuad Barcelona selepas tewas kepada Real Madrid
- Jude Bellingham membantu Kylian Mbappe menjaringkan gol dan juga menjaringkan sendiri gol kemenangan untuk Real Madrid
- Barcelona gagal menjaringkan lebih gol walaupun banyak menguasai bola pada separuh masa kedua
- Wenger mengkritik Barcelona kerana kekurangan kepimpinan dan pengalaman
- Prestasi Barcelona dikritik sebagai kurang matang berbanding dengan Real Madrid yang lebih lengkap dan berpengalaman
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
