Belia China berjimat cara ekstrem makan ulat roti

BEIJING – Golongan muda di China kini berkongsi pelbagai cara luar biasa untuk berjimat, termasuk menjadikan ulat roti sebagai makanan murah dan kaya protein, lapor South China Morning Post.
Idea itu dikongsi dalam kumpulan dalam talian dikenali sebagai Thrifty Men’s Association yang mempunyai lebih 240,000 ahli, di mana mereka menggelar diri sebagai “Bintang Jimat” dan menganggap gaya hidup itu sebagai bentuk penentangan terhadap budaya konsumerisme.
Salah satu perkongsian paling tular mencadangkan memakan ulat roti yang dikatakan mempunyai rasa seperti “badam susu”.
Menurut pengirim, ulat itu jauh lebih murah daripada daging biasa, hanya berharga 12 yuan (RM7.90) sekilogram, dengan kandungan protein sekitar 20 peratus.
Dia mendakwa ulat tersebut boleh dibiak tanpa henti dan amat berkhasiat.
“Semalam saya makan tiga kali, tapi hanya habis separuh bekalan. Jumlah kos tidak sampai empat yuan (RM2.60),” katanya.
Bagi menjimatkan minyak masak, ada yang memilih mengukus ulat roti atau mengisarnya menjadi pes untuk dijadikan ladu dan lempeng seperti di restoran segera.
Malah, ada yang mendakwa bunyi ulat merayap pada waktu malam membantu mereka tidur lena.
Selain makanan, kumpulan itu turut berkongsi cara ekstrem lain untuk berjimat, antaranya membekukan telur yang telah dipukul dalam dulang ais untuk dijadikan tiga hidangan, menggunakan kulit dan tulang ayam sebagai sup, serta menyimpan minyak gorengan ayam untuk menumis nasi.
Ada juga yang menyarankan menyewa rumah di bawah unit dengan lantai berpemanas bagi menjimatkan tenaga pada musim sejuk, mandi air sejuk dan tidur di lantai ketika musim panas untuk mengelak penggunaan penghawa dingin.
Seorang ahli mendakwa dia kini hanya berbelanja sekitar 10,000 yuan (RM7,000) setahun, berbanding lebih 30,000 yuan (RM21,000) sebelum ini, malah ada yang mendakwa berjaya menabung hingga mampu membeli tiga rumah.
Namun, trend itu mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial.
“Ini sungguh menakjubkan, saya kagum,” tulis seorang pengguna
Manakala seorang lagi berkata, dia belum cukup terdesak untuk berjimat seperti itu. - Agensi
Ringkasan AI
- Golongan muda di China menjadikan ulat roti sebagai makanan murah dan kaya protein
- Idea menjimatkan tersebut dikongsi dalam kumpulan dalam talian Thrifty Men's Association yang mempunyai lebih 240,000 ahli
- Ulat roti berharga 12 yuan per kilogram dengan kandungan protein sekitar 20 peratus dan boleh dibiak tanpa henti
- Cara lain untuk berjimat termasuk menggunakan kulit dan tulang ayam sebagai sup serta menyewa rumah di bawah unit dengan lantai berpemanas bagi menjimatkan tenaga
- Trend berjimat ini mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, ada yang kagum dan ada juga yang belum terdesak untuk mengamalkannya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
