Negeri Sembilan belum sedia tawar vaksin influenza percuma

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan belum bercadang untuk menyediakan vaksin influenza percuma kepada rakyat negeri itu kerana melibatkan kos tinggi selain situasi penularan wabak masih dalam keadaan terkawal.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketika ini kemudahan vaksin tersebut juga telah disediakan oleh kerajaan Persekutuan di hospital-hospital kerajaan.

“Kita belum ke arah itu bukan kerana tiada perancangan, tetapi kerana langkah tersebut melibatkan kos yang tinggi.

“Penduduk boleh mendapatkan vaksin secara percuma di hospital kerajaan melalui temujanji, jadi tidak perlu kerajaan negeri menanggung perbelanjaan tambahan sekiranya kemudahan itu sudah disediakan oleh Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) Badan Beruniform di Centre Court Paroi di sini pada Ahad.

Aminuddin berkata demikian ketika diminta mengulas peningkatan kes influenza di Negeri Sembilan termasuk satu kes kematian melibatkan pelajar sekolah.

Katanya, wabak influenza ketika ini berlaku hampir di seluruh negara, namun keadaan di Negeri Sembilan masih terkawal.

“Saya menyeru ibu bapa supaya lebih peka dan memastikan tahap kesihatan anak-anak berada dalam keadaan baik sebelum ke sekolah,

“Masyarakat juga diseru agar tidak panik atau terpengaruh dengan laporan yang boleh menimbulkan suasana cemas berhubung penularan penyakit itu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!