Festival Mega i LINDUNG U tawar diskaun FCLB untuk majikan

SHAH ALAM – Pemberian diskaun sehingga 80 peratus kepada majikan yang lewat membayar Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) antara insentif ditawarkan sempena Festival Mega i LINDUNG U 2025 yang berlangsung di pekarangan Stadium Shah Alam.
Festival selama empat hari bermula semalam itu dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mempromosikan produk perlindungan baharu dikenali sebagai LINDUNG, merangkumi LINDUNG Pekerja, LINDUNG Kerjaya, LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, usaha tersebut bagi memberi peluang kepada majikan menyelesaikan tunggakan caruman serta menggalakkan pematuhan terhadap tanggungjawab keselamatan sosial pekerja.
Menurutnya, langkah itu turut memastikan majikan yang terkesan dengan tindakan penguatkuasaan tidak terbeban, selain dapat mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang undang selanjutnya.
“Majikan yang dikenakan kompaun dan sebagainya boleh hadir ke festival ini untuk mendapatkan diskaun dan menyelesaikan kes mereka tanpa perlu melalui proses tindakan susulan,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan ke festival tersebut, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata festival itu juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat termasuk pencarum dan bukan pencarum terhadap inisiatif keselamatan sosial PERKESO di bawah jenama LINDUNG.
Katanya, perlindungan LINDUNG Pekerja memberi fokus kepada keselamatan sosial pekerja, manakala LINDUNG Kerjaya membantu mereka yang hilang pekerjaan ekoran syarikat ditutup atau pengecilan operasi.
“Festival ini juga menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pengunjung yang hadir terutama dari sekitar Lembah Klang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, tuntutan PERKESO kini boleh dibuat sepenuhnya secara dalam talian (online) tanpa perlu hadir ke pejabat, melibatkan tuntutan kemalangan dan di bawah Skim Keilatan, sebelum diperluaskan kepada skim lain.
Menurutnya, festival serupa dirancang diperluaskan ke negeri lain dan Pulau Pinang disasarkan sebagai lokasi seterusnya pada November atau Disember bergantung kepada kelulusan kementerian.
Selain itu, festival itu turut menawarkan Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs yang menyediakan hampir 1,000 peluang pekerjaan dengan gaji sehingga RM10,000 di syarikat terkemuka.
Beliau menambah, hadiah cabutan bertuah bernilai RM20,000 turut disediakan sebagai tarikan kepada pengunjung yang hadir sepanjang tempoh festival.
“Festival simbol komitmen kami bahawa setiap rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dilindungi di bawah payung keselamatan sosial negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
