4,295 notis pengesahan pemasangan SLD telah dikeluarkan - Anthony Loke

BENTONG - Sebanyak 4,295 notis pengesahan pemasangan peranti had kelajuan (SLD) telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berat setakat ini, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Beliau berkata, notis itu dikeluarkan bagi memastikan semua kenderaan berat mematuhi keperluan pemasangan sistem berkenaan untuk keselamatan pengguna jalan raya.
"Apabila kita mengeluarkan notis, mereka diberi tempoh 14 hari untuk mendapatkan pengesahan SLD telah dipasang dan kembali ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk pengesahan.
"Jika mereka berbuat demikian dalam tempoh ditetapkan, tiada tindakan lanjut atau saman dikenakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu JPJ Cawangan Bentong di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Pahang, Datuk Amizar Abu Adam, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli dan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman.
Anthony berkata, langkah penguatkuasaan terhadap pematuhan SLD menunjukkan kesan positif apabila semakin ramai pengusaha kenderaan berat tampil memasang sistem itu selepas notis dikeluarkan.
Selain itu, beliau berkata, JPJ juga giat melaksanakan penguatkuasaan terhadap pemakaian tali pinggang keledar di dalam bas.
"Ia (penguatkuasaan) tidak mengira sama ada bas itu milik institut pengajian tinggi (IPT), bas ekspres atau bas persiaran. Selagi ia (bas) dilengkapi tali pinggang, pematuhan adalah wajib,” katanya.
Berhubung pejabat baharu JPJ Bentong, Anthony berkata, pejabat di Jalan Chamang seluas 0.63 hektar itu dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dengan kos pembinaan RM10.4 juta.
Kerja pembinaan bermula pada 20 Mac 2023 dan diserahkan kepada JPJ pada 6 Ogos sebelum mula beroperasi pada 8 September. - Bernama
Ringkasan AI
- Sebanyak 4,295 notis pengesahan pemasangan peranti had kelajuan telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berat
- Notis dikeluarkan untuk memastikan kenderaan berat mematuhi pemasangan sistem had laju bagi keselamatan pengguna jalan raya
- Pemilik kenderaan diberi tempoh 14 hari untuk mendapatkan pengesahan SLD dipasang dan kembali ke JPJ untuk pengesahan
- Tiada tindakan lanjut atau saman dikenakan jika pematuhan dilakukan dalam tempoh ditetapkan
- Langkah penguatkuasaan terhadap pematuhan SLD menunjukkan kesan positif dengan semakin ramai pengusaha kenderaan berat memasang sistem tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
