SPRM perangi rasuah di institusi pendidikan melalui komik

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerangi jenayah rasuah dengan pendekatan lebih dekat kepada masyarakat apabila menerbitkan buku komik bertajuk 'Misi Integriti: Perang Rasuah Bermula' bersama Politeknik Kuching Sarawak.
Kerjasama dengan institusi pengajian tinggi itu dilihat sebagai strategi baharu SPRM dalam menyemai kesedaran antirasuah kepada pelajar khususnya di peringkat teknikal dan vokasional.
Buku komik berkenaan dihasilkan oleh dua pensyarah Politeknik Kuching Sarawak, Haslinda Jama’in serta Nur Maisarah Syahirah Zainal Abidin dan akan digunakan sebagai bahan rujukan tambahan bagi Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR).
Tahun lalu kerajaan bersetuju menjadikan modul KIAR sebagai mata pelajaran wajib di semua institusi pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) seluruh negara bagi memperkukuh nilai integriti dan kejujuran dalam kalangan pelajar.
SPRM menerusi kenyataan berkata, proses penulisan dan penyediaan buku berkenaan dijalankan antara Jun hingga awal September tahun ini sebelum melalui semakan serta kelulusan rasmi termasuk daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
"Penerbitan ini bukan sekadar bahan bacaan tetapi alat pembelajaran kreatif untuk memupuk kesedaran bahaya rasuah dan kepentingan integriti dalam kehidupan seharian," katanya.
Ringkasan AI
- SPRM berkolaborasi dengan Politeknik Kuching Sarawak menerbitkan buku komik 'Misi Integriti: Perang Rasuah Bermula' untuk memerangi rasuah
- Pendekatan ini merupakan strategi baru dalam menyemai kesedaran antirasuah khususnya kepada pelajar teknikal dan vokasional
- Buku komik tersebut dihasilkan oleh dua pensyarah Politeknik Kuching Sarawak dan akan digunakan sebagai bahan rujukan tambahan dalam Kursus Integriti dan Antirasuah
- Modul KIAR dijadikan mata pelajaran wajib di semua institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional di seluruh negara
- Proses penulisan dan penyediaan buku tersebut dijalankan dari Jun hingga awal September sebelum mendapat kelulusan rasmi termasuk dari Dewan Bahasa dan Pustaka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

