Peranan BPRM lindung maklumat daripada diceroboh, sabotaj

Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) SPRM menjadi benteng utama melindungi data rahsia negara dengan menangkis lebih 80,000 percubaan pencerobohan siber setiap hari melalui sistem keselamatan berlapis. Gambar kecil: Norkhafizin
Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) SPRM menjadi benteng utama melindungi data rahsia negara dengan menangkis lebih 80,000 percubaan pencerobohan siber setiap hari melalui sistem keselamatan berlapis. Gambar kecil: Norkhafizin
A
A
A

SHAH ALAM - Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) yang beroperasi di bawah Sektor Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memainkan peranan penting melindungi sistem maklumat suruhanjaya itu daripada diceroboh atau disabotaj.

Pengarah BPRM SPRM, Norkhafizin Isa berkata, bahagian itu bukan sekadar sebuah unit pentadbiran biasa, sebaliknya menjadi benteng utama dalam memastikan setiap maklumat daripada aduan awam hinggalah dokumen rahsia negara disaring, disimpan dan disalurkan mengikut protokol keselamatan yang paling ketat.

Menurutnya, setiap hari, ratusan maklumat diterima oleh SPRM melalui pelbagai saluran seperti portal aduan, aplikasi mudah alih MACC Mobile, surat rasmi, e-mel, panggilan telefon serta laporan terus daripada pemberi maklumat.

“Namun, bukan semua maklumat itu boleh terus disiasat.

“Prosesnya bermula di BPRM, tempat maklumat ditapis menggunakan Complaints Management System (CMS), dinilai tahap kesahihannya dan dibawa ke peringkat tertinggi melalui Mesyuarat Jawatankuasa Menilai Maklumat (JMM),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, selepas penelitian rapi, maklumat dan aduan yang diterima akan diklasifikasikan sama ada untuk tindakan SPRM, dirujuk ke jabatan lain atau dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Katanya, BPRM tidak hanya bergantung pada perisian keselamatan semata-mata, tetapi turut membangunkan ekosistem pertahanan menyeluruh merangkumi Multi-Factor Authentication (MFA), tembok api berkapasiti tinggi (high-capacity firewall), pemantauan masa nyata, sistem penyulitan (enkripsi) dan ujian keselamatan aplikasi sebelum digunakan.

“Bayangkan, secara purata terdapat antara 80,000 hingga 90,000 percubaan pencerobohan siber dikesan setiap hari terhadap sistem penyimpanan ini.

“Satu statistik yang cukup besar yang menggambarkan betapa tingginya nilai maklumat yang disimpan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pengurusan maklumat bukan sekadar berkaitan sistem dan prosedur, tetapi merupakan suatu amanah yang mempertaruhkan nyawa, keadilan dan kepercayaan rakyat.

“Satu kebocoran maklumat mampu menggagalkan siasatan, menjejaskan keyakinan saksi malah mengancam keselamatan negara. Oleh itu, disiplin, pematuhan terhadap arahan keselamatan dan kecekapan teknologi menjadi asas yang memastikan integriti suruhanjaya terus terpelihara,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • BPRM di bawah SPRM melindungi sistem maklumat daripada diceroboh atau disabotaj
  • Berperanan sebagai benteng utama memastikan maklumat rahsia negara disaring, disimpan dan disalurkan dengan ketat
  • Menerima ratusan maklumat harian melalui berbagai saluran dan memprosesnya menggunakan CMS dan Mesyuarat Jawatankuasa Menilai Maklumat
  • Mengembangkan ekosistem pertahanan menyeluruh termasuk MFA, tembok api berkapasiti tinggi, dan ujian keselamatan aplikasi
  • Menghadapi antara 80,000 hingga 90,000 percubaan pencerobohan siber setiap hari, menunjukkan nilai tinggi maklumat yang disimpan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!