Pendidikan kunci kejayaan Selangor - Amirudin

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan disifatkan sebagai kunci utama bagi memastikan anak-anak Selangor memperoleh peluang pekerjaan yang lebih berkualiti sekali gus menjamin masa depan lebih cerah.

Pendekatan itu, menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari akan terus menjadi keutamaan kerajaan negeri sebagai asas kepada kejayaan dan daya saing Selangor, bukan sahaja di peringkat nasional malah di rantau Asia.

“Untuk kita terus berjaya bukan sahaja di Malaysia tetapi dapat bersaing dengan negeri-negeri maju di Asia, kita perlu memberikan fokus kepada pendidikan kerana itulah kunci supaya anak-anak Selangor dapat ditawarkan pekerjaan yang lebih berkualiti,” ujarnya pada Ahad.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Deepavali 2025 yang disambut masyarakat Hindu dan Sikh di seluruh negara esok.

Amirudin turut memaklumkan, kerajaan negeri baru-baru ini menyalurkan bantuan kepada 873 buah sekolah di seluruh Selangor, termasuk 98 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang menerima peruntukan keseluruhan RM5 juta bagi meningkatkan kemudahan dan fasiliti pembelajaran.

“Saya mahu semua pelajar di Selangor belajar dalam keadaan yang selamat dan selesa, termasuk pelajar di SJKT,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, beliau berkata, Belanjawan Selangor 2026 akan dibentangkan pada 14 November ini, dengan jaminan bahawa masyarakat India di negeri itu akan terus dibela serta diberdaya bagi meningkatkan kualiti hidup mereka.

Mengulas mengenai perayaan Deepavali, Amirudin berkata, perayaan yang membawa maksud ‘barisan lampu’ itu mempunyai nilai sejarah dan kepentingan tersendiri bagi komuniti Hindu dan Sikh serta menjadi simbol kepada semangat kekeluargaan dan perpaduan dalam masyarakat majmuk.

“Kepelbagaian ini adalah keunikan yang kita dapat menikmati sebagai rakyat negeri Selangor. Negeri ini telah membuktikan bahawa kita meraikan kepelbagaian budaya dan fahaman dan ini merupakan asas kejayaan Selangor,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengajak rakyat Selangor meraikan Deepavali bersama keluarga dan sahabat tersayang serta mendoakan perjalanan pulang ke kampung halaman berjalan lancar dan selamat.

“Nikmatilah detik perayaan ini bersama sahabat dan keluarga tersayang. Bagi anda yang mengunjung ke kampung di luar negeri, saya mendoakan perjalanan pergi dan pulang yang selamat bagi anda semua. En Iniya Deepavali Nal Vaalthukkal!” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Pendidikan kunci utama untuk masa depan lebih cerah anak-anak Selangor
  • Kerajaan negeri fokus pada pendidikan sebagai asas kejayaan dan daya saing Selangor
  • Kerajaan negeri salurkan bantuan kepada 873 sekolah untuk tingkatkan fasiliti pembelajaran
  • Belanjawan Selangor 2026 akan dibentangkan dengan jaminan pembelaan masyarakat India
  • Amirudin ajak rakyat Selangor raikan Deepavali sebagai simbol kekeluargaan dan perpaduan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!