PRN Sabah: PH umum calon awal November

 PH menyasarkan untuk meletakkan calon di 23 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Foto fail Bernama
PH menyasarkan untuk meletakkan calon di 23 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan. Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan senarai penuh calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada awal bulan depan, kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, PH menyasarkan untuk meletakkan calon di 23 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

Mustapha berkata, calon yang bakal diketengahkan melibatkan gabungan muka lama dan baharu, teknokrat dan bekas penjawat awam serta kepimpinan di peringkat cabang.

"Setakat ini, kita dimaklumkan ada 21 hingga 23 kerusi ditawarkan untuk PH, tetapi senarai calon yang dipersetujui akan diumumkan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal November," katanya kepada pemberita selepas program Festival Bahasa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada Khamis.

Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata jentera PH cukup bersedia dan bersemangat tinggi untuk menggerakkan kempen bagi memenangkan calon-calon parti itu pada pilihan raya berkenaan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Pakatan Harapan (PH) akan umumkan calon PRN Sabah awal bulan depan
  • PH target letak calon di 23 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan
  • Calon PH melibatkan gabungan muka lama dan baru, teknokrat, bekas penjawat awam dan kepimpinan cabang
  • Senarai calon disetujui akan diumumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal November
  • Tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November dengan pengundian awal 25 November dan hari pengundian 29 November

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!