Pegawai, anggota PGA di sempadan bebas ‘counter setting’

KOTA BHARU – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) menegaskan tiada laporan rasmi diterima berhubung dakwaan pegawai dan anggotanya yang bertugas di sempadan Malaysia-Thailand terlibat dalam aktiviti ‘counter setting’.
Pemangku Komander Briged Tenggara, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau anggota yang terbukti melanggar integriti ketika menjalankan tugas di sempadan.
“Saya sentiasa mengingatkan seluruh pegawai dan anggota supaya tidak terbabit dengan aktiviti tidak bermoral serta melanggar integriti.
“Peringatan ini diberikan secara berterusan, bukan bermusim atau hanya apabila timbul laporan tertentu. Setiap kali berlaku pertukaran penugasan, saya akan tekankan perkara ini,” katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau hadir pada majlis serah tugas PGA di Markas Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa di sini.
Menurut Ijid Landu, hasil pemerhatian pihaknya mendapati pegawai dan anggota PGA melaksanakan tanggungjawab dengan baik sepanjang penugasan di sempadan.
Beliau berkata, sekiranya ada yang didapati terlibat dengan aktiviti tidak bermoral, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi.
“Jika ia membabitkan kes polis atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), pihak kami tidak akan melindungi sesiapa,” tegasnya.
Menurut beliau, amaran dan peringatan itu sudah diberi sejak awal agar setiap anggota menjaga nama baik pasukan dan tidak terlibat dalam pelanggaran integriti.
Ringkasan AI
- Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am tidak terima laporan rasmi tentang anggotanya terlibat dalam 'counter setting' di sempadan Malaysia-Thailand
- Pemangku Komander Briged Tenggara, ACP Ijid Landu Binju, menekankan tiada kompromi terhadap anggota yang melanggar integriti
- Peringatan berterusan diberikan kepada semua pegawai dan anggota supaya menjauhi aktiviti tidak bermoral
- Pegawai dan anggota diperhatikan menjalankan tugas dengan baik di sempadan
- Tindakan tegas akan diambil terhadap anggota yang terbukti terlibat dalam aktiviti tidak bermoral termasuk kerjasama dengan polis atau SPRM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

