[VIDEO] 'Saya tengok 'live' sampai jam 1 pagi, pastikan itu kereta abang' - Adik

A
A
A

BATU PAHAT - “Saya tengok penstriman langsung di TikTok sehingga jam 1 pagi untuk pastikan itu kereta abang.”

Demikian kata Saryussaqapi Mahmud, 42, adik kepada Muhammad Husni, 47, yang maut selepas kereta Proton Saga dipandunya terjunam ke dalam Sungai Panchor, Pagoh, Muar, pada petang Isnin.

Mahmud menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Husni.
Mahmud menunjukkan gambar arwah anaknya, Muhammad Husni.

Saryussaqapi berkata, dia menerima berita mengenai kejadian itu melalui kenalan sebelum mencari maklumat lanjut di media sosial.

“Saya tak sangka kereta itu milik abang. Saya tengok siaran langsung pasukan penyelamat naikkan kereta, hati saya mula rasa tak sedap.

“Waktu itu saya masih samar sama ada kereta itu milik abang atau orang lain memandangkan nombor pendaftaran tidak jelas.

“Saya menontonnya (penstriman langsung) sehinggalah jam 1 pagi tadi, barulah saya tahu kereta itu milik abang. Pada ketika itulah saya dimaklumkan bahawa abang sudah tiada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di rumah keluarganya di Taman Bendahara, Kampung Sungai Kajang di sini pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Menurut Saryussaqapi, arwah tidak memaklumkan sebarang perancangan untuk ke Panchor, sebaliknya hanya memberitahu mahu ke rumah rakan.

Muhammad Husni merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik dan tinggal bersama ibu serta ayah selepas isterinya, Haniza Rahmat, meninggal dunia pada tahun 2021 akibat Covid-19.

Bapa mangsa, Mahmud Talib, 78, yang juga pesara serta ibu mereka, Nariman Tan Ahmad, 74, reda dengan pemergian anak tersayang.

“Pada pagi sebelum kejadian, arwah ada beritahu saya dia sakit kepala. Kami sempat berborak sambil ketawa sebelum arwah memberitahu adiknya mahu keluar jumpa rakan.

“Bagi kami, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Kajang selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar.

Mahmud sebelum itu menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Khalid, yang hadir menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar, Superintenden Muhammad Aidil Roneh Abdullah, mengesahkan mangsa yang mati lemas dikenal pasti sebagai Muhammad Husni Mahmud, 47.

Katanya, mangsa merupakan pegawai sumber manusia di sebuah kilang kayu di Batu Pahat dan seorang duda tanpa anak.

“Berdasarkan maklumat awal, terdapat seorang saksi, warga emas berusia 70-an, yang berada di sebuah kedai berhampiran ketika kejadian berlaku.

“Saksi berkenaan mendakwa melihat kereta itu berhenti di tempat parkir di tepi sungai sebelum mendengar enjin dihidupkan dan kenderaan itu tiba-tiba bergerak ke dalam sungai.

“Dia kemudian cuba membantu dengan memecahkan cermin kereta, namun tidak dapat mengeluarkan mangsa kerana tingkap cermin gelap dan air mula memenuhi bahagian dalam kenderaan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Sultanah Fatimah.

Muhammad Aidil berkata, ketika ditemui, mangsa tidak memakai tali pinggang keledar dan berada di tempat duduk pemandu.

Beliau berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian termasuk mengambil keterangan saksi di lokasi.

Polis turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, sebuah kereta jenis Proton Saga dipandu lelaki berusia 47 tahun terjunam ke dalam sungai ketika air sedang pasang dan deras.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan sehingga malam sebelum kenderaan berjaya dikesan oleh unit penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada jam 10 malam, manakala kereta dan mangsa ditemui kira-kira jam 1.01 pagi semalam.

Ringkasan AI

  • Saryussaqapi Mahmud mengetahui kematian abangnya melalui penstriman langsung di TikTok
  • Muhammad Husni maut setelah kereta Proton Saga yang dipandunya terjun ke dalam Sungai Panchor
  • Beliau tidak memaklumkan ada perancangan ke Panchor, hanya ingin berjumpa rakan
  • Muhammad Husni tinggal bersama ibu bapa setelah isterinya meninggal akibat Covid-19 pada 2021
  • Operasi mencari dan menyelamat berjalan hingga mangsa dan kereta ditemui sekitar jam 1.01 pagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!