Malu dimaki depan jiran, suami lempar batu ke isteri

 Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila melempar batu ke arah isterinya selepas berang dimaki. Foto Agensi
Seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila melempar batu ke arah isterinya selepas berang dimaki. Foto Agensi
A
A
A

KENDARI - Seorang lelaki di Kota Kendari, Sulawesi Tenggara bertindak di luar kawalan apabila melempar batu ke arah isterinya selepas berang dimaki dengan kata-kata kasar di hadapan jiran tetangga.

Suspek berusia 32 tahun yang dikenali sebagai HA itu dilaporkan hilang sabar selepas isterinya, AL,30, menjerit dan menghina dirinya di depan orang ramai.

Insiden keganasan rumah tangga (KDRT) itu berlaku di Jalan Taman Suropati, Kelurahan Mandonga pada Rabu lalu hanya kira-kira dua kilometer dari Balai Polis Mandonga.

Ketua Siasatan Jenayah (Kasat Reskrim) Polis Kota Kendari, AKP Welliwanto Malau berkata, suspek pada mulanya menyoal isterinya mengenai hubungan dengan seorang lelaki lain dikenali sebagai MU.

“Pertanyaan itu membuat si isteri marah, lalu berlari sambil menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat. Pelaku yang merasa malu dan tercabar terus mengambil seketul batu lalu melemparkannya ke arah kepala isterinya,” jelasnya seperti dipetik Tribun Sultra, Sabtu.

Mangsa mengalami luka di bahagian kepala akibat terkena lemparan tersebut dan kini dirawat di hospital.

Malau berkata, si suami bukan sahaja cemburu, tetapi juga menahan malu kerana dimarahi isterinya di depan jiran.

“Selain cemburu, dia malu selepas dijerit dengan kata-kata hinaan di hadapan orang lain,” katanya.

Suspek ditahan pasukan Buru Sergap (Buser77) Siasatan Jenayah Polis Kota Kendari pada Jumaat (10 Oktober 2025) dan kini berdepan tuduhan di bawah Undang-Undang Penghapusan KDRT No.23 Tahun 2004, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda sehingga 30 juta rupiah (RM7,645).-Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki di Kota Kendari bertindak agresif, melempar batu ke arah isterinya kerana dimarahi di hadapan jiran
  • Suspek, HA, kehilangan sabar setelah dicerca oleh isterinya, AL, di depan umum
  • Insiden tersebut berlaku dekat dengan Balai Polis Mandonga, menandakan KDRT
  • Awal konflik disebabkan pertanyaan HA kepada AL tentang hubungan dengan lelaki lain
  • Suspek kini ditahan dan berdepan tuduhan KDRT dengan hukuman penjara dan denda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!