UDA sasar lahir jaguh boling

Mohd Annuar bersama peserta dan jemputan yang hadir ke Majlis Perasmian Program UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara di Lite Superbowl JB 9, Angsana Ipoh Mall pada Ahad.
Mohd Annuar bersama peserta dan jemputan yang hadir ke Majlis Perasmian Program UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara di Lite Superbowl JB 9, Angsana Ipoh Mall pada Ahad.
A
A
A

IPOH – UDA Holdings Berhad (UDA) terus membuktikan komitmennya dalam memperkasa pembangunan komuniti apabila berjaya melahirkan 29 pelajar berbakat dalam sukan boling dalam tempoh 16 minggu menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, program itu merupakan inisiatif strategik untuk mencungkil potensi sukan dalam kalangan pelajar sekolah rendah khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Menurutnya, daripada 120 pelajar yang menyertai saringan awal, seramai 29 peserta telah menamatkan latihan intensif dalam tempoh ditetapkan di bawah bimbingan bekas atlet kebangsaan, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi bersama dua jurulatih profesional tempatan.

Mohd Annuar (kanan) menyantuni pelajar yang terlibat sebagai peserta sempena Majlis Perasmian Program UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara di Lite Superbowl JB 9, Angsana Ipoh Mall di sini pada Ahad.
Mohd Annuar (kanan) menyantuni pelajar yang terlibat sebagai peserta sempena Majlis Perasmian Program UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara di Lite Superbowl JB 9, Angsana Ipoh Mall di sini pada Ahad.

“Sukan boling sering dianggap aktiviti berbelanja tinggi, sekali gus menafikan peluang anak-anak daripada keluarga B40 untuk menyertainya.

"Namun kami percaya dalam kelompok ini terdapat bakat besar yang mampu diketengahkan jika diberi ruang dan bimbingan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara di Lite Superbowl JB 9, Angsana Ipoh Mall di sini pada Ahad.

Mohd Annuar berkata, lima peserta terbaik daripada sesi latihan itu akan dipilih untuk menyertai latihan lanjutan sebagai persediaan ke peringkat lebih tinggi seperti mewakili negeri Perak ke kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA).

Artikel Berkaitan:

Mohd Annuar (tiga dari kanan) beramah mesra dengan peserta yang terlibat.
Mohd Annuar (tiga dari kanan) beramah mesra dengan peserta yang terlibat.

“Pertandingan ini bukan sekadar merebut gelaran juara, tetapi menjadi medan meniup semangat kesukanan, memupuk perpaduan kaum serta menyemai nilai hormat-menghormati dalam kalangan generasi muda.

“Kami berharap program CSR sukan boling ini dapat diteruskan secara berterusan sebagai platform menggilap bakat muda dan melahirkan juara berkualiti serta berdaya saing,” jelasnya.

Antara usahawan yang terlibat dalam Karnival UDA 2025@Ipoh selama tiga hari di Angsana Ipoh Mall pada Ahad.
Antara usahawan yang terlibat dalam Karnival UDA 2025@Ipoh selama tiga hari di Angsana Ipoh Mall pada Ahad.

Mereka dipilih daripada 120 pelajar itu merupakan anak-anak dari Sekolah Kebangsaan Sri Kinta, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Kampung Simee, SK Cator Avenue dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Tack Simee.

Pertandingan kemuncak yang diadakan di Angsana Ipoh Mall sempena majlis perasmian itu menandakan tamatnya sesi latihan intensif tersebut.

Pertandingan yang berlangsung pada Ahad membabitkan dua kategori iaitu kategori tertutup dan terbuka.

Bagi kategori tertutup, seramai 29 peserta bersaing secara individu mengikut tahap umur iaitu Tahap 1 bagi peserta berusia 7 hingga 9 tahun dan Tahap 2 bagi peserta berusia 10 hingga 12 tahun.

Kategori terbuka pula melibatkan 10 kumpulan sekolah rendah sekitar Ipoh dengan setiap kumpulan terdiri daripada empat pelajar berumur 10 hingga 12 tahun.

Mohd Annuar (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil pelajar yang terlibat.
Mohd Annuar (tengah) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil pelajar yang terlibat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Jabatan Belia dan Sukan Perak, Majlis Sukan Negeri Perak, Yayasan Perak, serta rakan swasta seperti Perak Transit Berhad dan FND Empire Sdn Bhd atas kerjasama erat menjayakan program berkenaan.

Menurutnya, setiap agensi memainkan peranan penting bagi menjayakan program itu, antaranya Yayasan Perak menaja pakaian latihan kepada peserta, Perak Transit menyediakan pengangkutan percuma, manakala FND Empire menyediakan fasiliti dan latihan di pusat boling Lite Superbowl JB9, Angsana Ipoh Mall.

Dengan sokongan padu pelbagai pihak dan pelaksanaan berterusan, UDA optimis program CSR sukan boling itu akan terus melahirkan lebih ramai atlet muda berdaya saing serta menjadi contoh sinergi kejayaan antara sektor awam dan swasta dalam pembangunan komuniti.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemilihan Angsana Ipoh Mall sebagai lokasi program merupakan langkah strategik UDA untuk memperkukuh peranan pusat komersial miliknya dalam memperkasakan masyarakat setempat.

Mohd Annuar (tiga dari kiri) turut menyempurnakan sambutan ulang tahun pertama Lite Superbowl JB 9, Angsana Ipoh Mall sempena program berkenaan.
Mohd Annuar (tiga dari kiri) turut menyempurnakan sambutan ulang tahun pertama Lite Superbowl JB 9, Angsana Ipoh Mall sempena program berkenaan.

“Dengan kadar penyertaan penyewa bumiputera mencecah 54 peratus, Angsana Ipoh Mall bukan sekadar pusat beli-belah tetapi berfungsi sebagai hab komuniti inklusif yang menyokong aktiviti keusahawanan bandar,” katanya.

Selain program pembangunan bakat muda itu turut berlangsung Karnival UDA 2025 @ Ipoh selama tiga hari bermula 10 Oktober lalu yang melibatkan penyertaan 50 usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Antara yang turut serta ialah usahawan di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Penganjuran serentak kedua-dua program itu membuktikan semangat serampang dua mata UDA iaitu bagi mencungkil bakat sukan sambil memperkukuh ekosistem keusahawanan yang mampan dan inklusif.

Ringkasan AI

  • UDA Holdings Berhad berjaya melahirkan 29 pelajar berbakat dalam sukan boling melalui program CSR UDA Cares: Bangunkan Komuniti, Lahirkan Juara
  • Program ini bertujuan mencungkil potensi sukan dalam kalangan pelajar sekolah rendah dari keluarga berpendapatan rendah
  • 29 peserta telah menamatkan latihan intensif dalam 16 minggu di bawah bimbingan bekas atlet kebangsaan dan dua jurulatih profesional
  • Lima peserta terbaik akan dipilih untuk latihan lanjutan sebagai persediaan mewakili negeri Perak ke SUKMA
  • Pertandingan kemuncak diadakan di Angsana Ipoh Mall, melibatkan kategori tertutup dan terbuka untuk pelajar sekolah rendah sekitar Ipoh

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!