LTAT perkasa celik kewangan lebih 7,000 warga ATM

SUNGAI PETANI – Usaha memperkukuh kesejahteraan kewangan dan perlindungan sosial dalam kalangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diperkasa apabila Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melancarkan Jelajah Wira LTAT 2025: Edisi Utara pada Sabtu.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohamad Ashraf Md Radzi berkata, jelajah yang berlangsung dari 11 hingga 25 Oktober ini menyasarkan penyertaan lebih 7,000 anggota ATM dari 35 kem tentera di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak, melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan utama.
Menurutnya, transformasi daripada Minggu Bersama Pencarum kepada Jelajah Wira LTAT mencerminkan keazaman institusi itu memperkukuh masa depan kewangan warga ATM sekali gus menandakan kesinambungan komitmen dalam memperkasa wira negara melalui pengukuhan ilmu kewangan serta jaminan sosial yang mampan.
“Kami bukan sekadar mengurus pelaburan mereka, tetapi turut melabur dalam kehidupan, keluarga dan masa depan mereka.
"Melalui edisi ketiga ini, LTAT terus memperkukuh celik kewangan, memperluas perlindungan sosial dan membina ketahanan kewangan jangka panjang untuk seluruh komuniti ATM,” katanya.

Pelancaran disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kem Lapangan Terbang di sini.
Difahamkan, sejak diperkenalkan pada Disember 2023, Program Taklimat Pencarum dan Celik Kewangan LTAT membabitkan lebih 40,000 warga ATM di seluruh negara bagi membantu mereka membuat keputusan kewangan lebih bijak dan mampan.
Ringkasan AI
- Usaha memperkukuh kesejahteraan kewangan dan perlindungan sosial anggota ATM diperkasa dengan pelancaran Jelajah Wira LTAT 2025
- Jelajah disasarkan kepada lebih 7,000 anggota ATM dari Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak meliputi ketiga-tiga cabang perkhidmatan
- Transformasi ke Jelajah Wira LTAT bertujuan mengukuh masa depan kewangan dan jaminan sosial bagi warga ATM
- LTAT melabur dalam kehidupan, keluarga, dan masa depan anggota ATM melalui pendidikan celik kewangan dan perlindungan sosial
- Program Taklimat Pencarum dan Celik Kewangan LTAT sejak Disember 2023 telah melibatkan lebih 40,000 warga ATM untuk pembuatan keputusan kewangan bijak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

