[VIDEO] Taktik politik lapuk STAR, SAPP keluar GRS, bersatu semula lepas PRN - Ahmad Zahid

A
A
A

JOHOR BAHRU – Tindakan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan sebagai taktik politik lama menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu dilihat sebagai strategi kedua-dua parti untuk bertanding atas tiket sendiri bagi meraih sokongan pengundi, sebelum kembali bekerjasama selepas pilihan raya bagi membentuk kerajaan negeri.

Ahmad Zahid merasmikan Skuad Yayasan Pelajaran Mara di Arena Larkin pada Ahad.
Ahmad Zahid merasmikan Skuad Yayasan Pelajaran Mara di Arena Larkin pada Ahad.

“Bacaan saya, apabila STAR dan SAPP tinggalkan GRS, ini merupakan taktik politik untuk mereka bertanding dengan lambang masing-masing.

“Selepas PRN Sabah, mereka mungkin akan bersama semula untuk membentuk kerajaan,” katanya pada pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Arena Larkin, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.

Pada Khamis, STAR dan SAPP memutuskan untuk keluar daripada GRS dan akan bertanding secara solo dalam PRN17.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang berlangsung di Sri Gaya pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan, taktik sedemikian bukan perkara baharu dalam politik Sabah, namun beliau yakin rakyat kini lebih matang dan tidak mudah dipengaruhi oleh strategi seumpama itu.

“Saya ingin mengingatkan pengundi di Sabah, ini merupakan taktik lama dan saya yakin pengundi Sabah cukup pintar untuk menolak politik seperti itu,” tegasnya.

Beliau dalam masa sama menjelaskan bahawa Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian hanya bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi PRN Sabah, selaras dengan ketetapan parti.

“Sebagaimana ketetapan dibuat oleh UMNO dan BN, kita hanya menjalin kesepakatan dengan PH untuk menghadapi PRN Sabah.

“Perkembangan dalam parti-parti gabungan GRS adalah di luar daripada keputusan yang telah kita buat,” katanya.

Spekulasi mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semakin hangat pada masa ini dengan beberapa tarikh disebut-sebut bagi pengumuman rasmi berkenaan.

Terkini, sebuah agensi media melaporkan bahawa berdasarkan sumber politik kanan negeri, pengumuman pembubaran DUN Sabah dijangka dibuat pada Isnin ini, 6 Oktober.

DUN Sabah ke-16 dijadualkan terbubar secara automatik pada 11 November ini sekiranya tidak dibubarkan lebih awal, sekali gus memberi laluan kepada PRN akan datang.

Ringkasan AI

  • Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai strategi politik
  • Langkah ini diambil untuk bertanding atas tiket sendiri dalam Pilihan Raya Negeri Sabah bagi meraih sokongan pengundi
  • Dianggap sebagai taktik lama, bertujuan untuk bekerjasama semula selepas pilihan raya bagi membentuk kerajaan negeri
  • Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menegaskan taktik ini bukanlah baru dan yakin rakyat Sabah dapat menilai
  • Barisan Nasional (BN) hanya menjalin kesepakatan dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!