Tertembak rakan: Polis siasat kemungkinan unsur jenayah lain

IPOH - Polis sedang menyiasat sama ada wujud unsur jenayah lain dalam kes kematian seorang lelaki selepas terkena tembakan ketika berburu di Batu Caves, Selangor yang mayatnya ditemukan di Bagan Serai pada 29 September lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, walaupun siasatan awal mendapati insiden itu berlaku kerana mangsa disangka haiwan buruan, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat unsur lain.
"Hasil bedah siasat mengesahkan kematian mangsa berpunca daripada tembakan di dada.
"Kita masih menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah lain yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Warga Kerja PDRM Kontinjen Perak Tahun 2025 di Mes Pegawai Kanan Polis di sini pada Khamis.
Menurut beliau, sehingga kini empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan termasuk seorang suspek berusia 50 tahun yang ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada 30 September lalu.
Katanya, seorang suspek yang ditahan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa iaitu adik iparnya sendiri.
"Hasil ujian dan pemeriksaan ke atas semua suspek mendapati tiga daripada mereka positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan narkotik dan jenayah.
"Ketiga-tiga suspek yang positif dadah ini turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," jelasnya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, sekumpulan lelaki sanggup membawa 'lari' mayat rakan mereka sejauh hampir 300 kilometer dari Batu Caves, Selangor ke Kampung Selamat, Semanggol dekat Bagan Serai, Isnin lalu.
Mangsa lelaki berusia 43 tahun itu ditemui sudah meninggal dunia di tepi jalan tidak berturap di Kampung Selamat dengan tiga kesan tembakan di belakang badan.
Ringkasan AI
- Polis sedang menyiasat kes kematian lelaki akibat tembakan ketika berburu di Batu Caves
- Siasatan tidak menolak kemungkinan wujudnya unsur jenayah lain
- Empat lelaki ditahan untuk membantu siasatan termasuk seorang suspek yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan mangsa
- Tiga daripada suspek positif dadah dan mempunyai rekod narkotik serta jenayah
- Mayat mangsa dibawa hampir 300 kilometer dari Batu Caves ke Kampung Selamat, Bagan Serai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

