'Azmin paling layak, berkemampuan pimpin Bersatu' - Pemimpin sayap Selangor

Sayap Bersekutu Negeri Selangor menzahirkan sokongan penuh terhadap Mohamed Azmin Ali.
Sayap Bersekutu Negeri Selangor menzahirkan sokongan penuh terhadap Mohamed Azmin Ali.
A
A
A

SHAH ALAM – Sayap Bersekutu Negeri Selangor menzahirkan sokongan penuh terhadap Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ketuanya, Datuk Goh Gaik Meng berkata, pihaknya mengecam keras tindakan segelintir individu yang melancarkan serangan peribadi terhadap Mohamed Azmin menerusi sidang media kerana perbuatan itu hanya merosakkan parti sendiri.

“Tindakan sedemikian seolah-olah menjadi musuh dalam selimut yang bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah mengkhianati usaha Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) untuk menawan Selangor,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, di bawah kepimpinan Mohamed Azmin, PN mencatat pencapaian memberangsangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dengan memenangi 22 kerusi serta hampir menawan Selangor.

Beliau berkata, selepas Datuk Rashid meninggalkan parti, Mohamed Azmin mengambil alih jawatan Ketua BPN Selangor dengan penuh tanggungjawab dan berjaya menyusun semula barisan kepimpinan dengan wajah serta semangat baharu.

“Jelas, beliau adalah tokoh paling layak dan berkemampuan untuk memimpin Bersatu serta merealisasikan impian rakyat melihat PN menerajui Selangor,” katanya.

Ujarnya lagi, individu yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah itu jelas mempunyai agenda tersembunyi yang hanya akan menjejaskan peluang Bersatu dan PN.

“Sayap Bersekutu sendiri pernah melalui pengalaman pahit dengan pihak tersebut semasa pilihan raya lepas, termasuk menerima pelbagai ugutan.

"Perkara ini telah saya laporkan kepada pucuk pimpinan,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Gaik Meng menegaskan, Bersatu perlu kembali bersatu di bawah kepimpinan Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung bersama gandingan kepimpinan berwibawa di Selangor.

Katanya, rakyat masih mengingati jasa Mohamed Azmin semasa menerajui pentadbiran negeri dengan dasar membela rakyat termasuk air percuma, pengecualian cukai pintu Kampung Baru, rumah mampu milik dan kemudahan parkir percuma.

“Semua manfaat ini kini sudah tiada, malah cukai pintu dinaikkan berkali ganda hingga membebankan rakyat.

"Rakyat Selangor jelas merindui kepimpinan beliau,” katanya.

Beliau menegaskan, Bersatu dan PN berada di landasan tepat untuk menawan Selangor, manakala kesepaduan di bawah Mohamed Azmin menjadi kunci kemenangan.

“Kami juga menggesa pucuk pimpinan parti supaya mengambil tindakan disiplin sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang telah mencemar nama baik parti serta merosakkan imej kepimpinan,” tambahnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Sayap Bersekutu Negeri Selangor sokong penuh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Ketua Badan Perhubungan Negeri Bersatu Selangor
  • Kecaman keras terhadap tindakan serangan peribadi oleh individu tertentu yang merosakkan parti
  • Mohamed Azmin dipuji atas kepimpinannya yang hampir membawa kemenangan kepada Perikatan Nasional di Selangor pada PRN lalu
  • Ditegaskan bahwa Mohamed Azmin berjaya menyusun semula kepimpinan Bersatu Selangor dengan semangat baharu setelah Datuk Rashid meninggalkan parti
  • Rakyat Selangor diingatkan tentang jasa Mohamed Azmin semasa pentadbiran negeri termasuk dasar air percuma dan rumah mampu milik, kini merindui kepimpinannya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!