BUDI95: Pengguna selesa guna aplikasi

Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang mengadakan pemantauan di stessen minyak sekitar Bandaraya Kuantan pada hari pertama pelaksanaan BUDI95 untuk semua pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Muhd Shahrul, Emeir Danish
Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Sim Chon Siang mengadakan pemantauan di stessen minyak sekitar Bandaraya Kuantan pada hari pertama pelaksanaan BUDI95 untuk semua pada Selasa. Gambar kecil dari kiri: Muhd Shahrul, Emeir Danish
A
A
A

KUANTAN - Cip rosak, tertinggal kad pengenalan dan sikap segelintir pengguna yang enggan memberi kerjasama untuk mengeluarkan MyKad antara insiden yang mewarnai hari pertama pelaksanaan sistem Budi Madani RON95 (BUDI95) untuk semua rakyat yang layak pada Selasa.

Tidak kurang juga yang keliru dengan harga tanpa subsidi yang tertera pada pam sehingga ada yang teragak-agak untuk memulakan pengisian.

Bagaimanapun, hasil tinjauan Sinar Harian di beberapa stesen minyak sekitar Bandaraya Kuantan mendapati aktiviti pengisian berjalan lancar seperti biasa.

Berdasarkan perkongsian petugas stesen minyak, rata-rata pengguna tidak mengalami kesukaran kecuali segelintir, terutama golongan warga emas yang belum memahami sepenuhnya kaedah baharu menggunakan MyKad bagi pembelian petrol bersubsidi di stesen minyak.

Kesulitan itu bagaimanapun dapat diselesaikan dengan bantuan pekerja di pam.

Pekerja di sebuah stesen minyak membantu pengguna untuk mengisi minyak petrol bersubsidi menggunakan MyKad.
Pekerja di sebuah stesen minyak membantu pengguna untuk mengisi minyak petrol bersubsidi menggunakan MyKad.

Tinjauan sekitar jam 11 pagi hingga 1 tengah hari mendapati sistem di semua stesen minyak berjalan baik tanpa sebarang gangguan.

Di sebalik beberapa isu dan rungutan, rata-rata pengguna terutama golongan muda mengakui tidak menghadapi masalah, malah lega dapat mengisi minyak pada harga subsidi namun lebih selesa membuat bayaran menggunakan aplikasi yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

Bagi pekerja pasar raya, Muhd Shahrul Alimi Rizal, 22, beliau memilih menggunakan aplikasi untuk membuat bayaran tanpa perlu menggunakan kad pengenalan.

“Masa hendak isi minyak tadi, pekerja bantu daftarkan aplikasi tersebut dan memang cara ini lebih mudah.

“Pada saya, tiada masalah bayar guna apa cara sekalipun, cuma kalau ada yang lebih mudah, itu lebih baik. Paling penting harga minyak lebih murah dan proses pengisian lancar seperti hari ini,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Chan Boon Hoo, 39, mengakui tidak menghadapi masalah untuk mengisi minyak kerana semuanya berjalan lancar.

Juru kimpal itu berkata, dia sudah dua kali mengisi minyak untuk dua kenderaan miliknya yang berbeza pada hari yang sama (Selasa).

“Pagi tadi isi guna MyKad dan kali ini guna aplikasi pula. Tiada masalah, cuma bagi saya guna aplikasi lebih mudah,” katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha stesen minyak yang mahu dikenali sebagai Bashar, 59, berkata operasi stesen minyak miliknya di Jalan Air Putih, di sini, berjalan seperti biasa pada hari pertama pelaksanaan BUDI95.

Menurutnya, keadaan itu hasil persiapan sejak hampir dua bulan lalu bagi menghadapi pelaksanaan BUDI95.

“Kita telah bersedia termasuk dari aspek sistem, teknikal dan latihan untuk pekerja.

“Pekerja juga sentiasa bersedia membantu pengguna yang menghadapi masalah sama ada terus di pam atau melalui kaunter informasi yang disediakan,” katanya.

Pekerja sebuah stesen minyak di Jalan Gambut, Emeir Danish Muhamad, 21, turut memaklumkan semua operasi berjalan lancar sejak pagi.

“Operasi seperti biasa, agak sibuk waktu puncak (pagi) dan mulai lengang menjelang tengah hari.

“Cuma pagi tadi ada kes pengguna tidak dapat isi minyak subsidi kerana cip MyKadnya rosak,” katanya.

Ringkasan AI

  • Cip rosak dan kad pengenalan tertinggal antara isu pada hari pertama pelaksanaan sistem Budi Madani RON95
  • Segelintir pengguna, terutama golongan warga emas, belum memahami penggunaan MyKad untuk pembelian petrol bersubsidi
  • Pekerja stesen minyak memberi bantuan kepada pengguna yang menghadapi kesulitan
  • Pengguna golongan muda mengalami proses yang lancar dan lega dapat mengisi minyak pada harga subsidi
  • Penggunaan aplikasi untuk membuat bayaran dianggap lebih mudah oleh beberapa pengguna

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!