Wanita Singapura ditahan maki polis

ISKANDAR PUTERI – Seorang wanita warga Singapura ditahan selepas bertindak menghalang tugas polis serta mengeluarkan kata-kata kesat ketika sekatan jalan raya di Kilometer 3.8 Lebuhraya Linkedua, Gelang Patah di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner, M Kumarasan berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek berusia 29 tahun yang memandu kereta jenis Honda ditahan kerana kesalahan penggunaan ekzos tidak sah.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, wanita terbabit enggan memberikan kerjasama malah memaki anggota yang bertugas kerana tidak berpuas hati terhadap tindakan saman dikenakan.
“Ujian air kencing dan alkohol terhadap suspek didapati negatif. Bagaimanapun saman turut dikeluarkan atas kesalahan mengubah suai ekzos kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jelas beliau, suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.
Polis menasihatkan orang ramai agar mematuhi undang-undang serta memberikan kerjasama semasa pemeriksaan dijalankan.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan ke Balai Polis berhampiran atau menghubungi Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau Hotline 07-5114486
Ringkasan AI
- Seorang wanita warga Singapura ditahan kerana menghalang tugas polis di Kilometer 3.8 Lebuhraya Linkedua, Gelang Patah
- Wanita tersebut, berusia 29 tahun, ditahan kerana menggunakan ekzos tidak sah pada kenderaannya
- Enggan memberikan kerjasama dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis semasa pemeriksaan
- Ujian air kencing dan alkohol terhadap suspek didapati negatif
- Suspek kini ditahan dan kes disiasat di bawah beberapa akta termasuk Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

