Selangor salur geran khas galak taska daftar JKM - Exco

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukkan geran bernilai RM400,000 bagi membantu pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) terutama yang belum berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ini.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, inisiatif itu bertujuan memudahkan lebih banyak taska beroperasi secara sah sekali gus mengatasi isu pengusaha yang enggan menerima bayi berusia bawah setahun.
Menurutnya, kira-kira 100 taska belum berdaftar berpeluang mendapat manfaat menerusi bantuan itu dengan anggaran maksimum RM5,000 bagi setiap taska.
"Kerajaan negeri akan menganjurkan hari terbuka di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor sebagai ruang kepada pengusaha taska hadir dan membuat permohonan geran ini.
“Kita mahu permudahkan syarat supaya lebih ramai pengusaha berdaftar dengan JKM dan mengelakkan mereka berdepan masalah operasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Anfaal memberitahu, sehingga kini terdapat 1,300 taska berdaftar di Selangor namun masih ada yang beroperasi tanpa pendaftaran sah.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan negeri turut meneruskan program Skim Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) yang menawarkan subsidi RM100 sebulan untuk setiap kanak-kanak taska daripada keluarga B40 berpendapatan isi rumah bawah RM5,000.
"Sebanyak 500 kanak-kanak akan menerima manfaat subsidi ini untuk tempoh setahun.
"Program ini diharap meringankan beban ibu bapa di samping memastikan kualiti penjagaan anak-anak mereka terjamin," tambahnya.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan, kerajaan Selangor akan memperkukuh bantuan melalui geran pusat jagaan bernilai RM400,000 bagi membantu pengusaha taska yang terkesan dengan isu enggan menerima bayi bawah setahun.
Anfaal berkata, pihaknya telah menyampaikan perkara itu kepada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad susulan kebimbangan ibu bapa terhadap situasi berkenaan.
CAPTION
Anfaal
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor memperuntukkan RM400,000 untuk membantu pengusaha taska belum berdaftar dengan JKM
- Inisiatif ini bertujuan memudahkan taska beroperasi secara sah dan mengatasi isu pengusaha enggan menerima bayi berusia bawah setahun
- Kira-kira 100 taska belum berdaftar boleh mendapat manfaat dengan anggaran maksimum RM5,000 bagi setiap taska
- Kerajaan negeri akan mengadakan hari terbuka di Bangunan SUK Selangor untuk pengusaha taska membuat permohonan geran
- Skim Asuhan Anakku Pintar menawarkan subsidi RM100 sebulan untuk kanak-kanak taska daripada keluarga B40
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

