Faisal ketuai Selangor benam Tampines di Petaling Jaya

SELANGOR FC akhirnya menemui semula sentuhan kemenangan apabila menewaskan wakil Singapura, Tampines Rovers 4-2 dalam aksi Kumpulan A Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Kejayaan itu bukan sahaja menghidupkan semula rentak skuad kendalian Katsuhito Kinoshi, malah menamatkan kemarau kemenangan sejak menewaskan Malaysian University Football Team 9-0 dalam saingan Pusingan 16 Piala FA pada 13 September lalu.
Turun dengan menampilkan Faisal Halim selaku kapten, Selangor bermula agak perlahan sebelum berjaya mengubah momentum permainan, manakala Tampines kendalian Noh Rahman lebih banyak menguasai tempo pada awal babak pertama.
Namun, skuad Red Giants tampil lebih garang dalam serangan dan membuka tirai jaringan menerusi Faisal yang bijak melepaskan percubaan dari sudut sukar untuk menewaskan penjaga gol lawan, Syazwan Buhari pada minit ke-18.
Selangor menambah derita pasukan pelawat pada minit ke-29 apabila Zach Clough menyempurnakan hantaran silang Chrigor Moraes untuk meletakkan kedudukan 2-0.
Tampines bagaimanapun kembali memberi saingan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-41 yang disempurnakan Koya Kazama, sekali gus merapatkan jurang 2-1 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Faisal sekali lagi muncul wira Selangor selepas meledak gol kedua peribadi pada minit ke-51, sebelum Alvin Fortes menambah jaringan keempat menerusi rembatan kencang pada minit ke-58.
Tampines tidak mengalah dan berjaya menjaringkan gol kedua melalui Hide Higashikawa pada minit ke-65, namun ia sekadar menjadi gol saguhati buat wakil Singapura itu.
Dengan kemenangan berharga ini, Selangor kini mengumpul empat mata selepas dua perlawanan, selepas sebelum ini mengikat Buriram United 1-1 di Stadium Chang Arena pada 20 Ogos lalu.
Skuad kendalian Kinoshi selepas ini bakal bertandang ke Stadium Bishan bagi aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) menentang satu lagi wakil Singapura, Lion City Sailors pada 1 Oktober.
Ringkasan AI
- Selangor FC berjaya menewaskan Tampines Rovers 4-2 dalam Kejuaraan Kelab ASEAN
- Kejayaan ini menghidupkan semula rentak kemenangan Selangor FC selepas kemarau sejak September
- Faisal Halim berperanan sebagai kapten dan mencetak gol pembukaan
- Selangor menambah dua gol lagi sebelum tamat separuh masa dan satu lagi di babak kedua
- Kemenangan ini memberikan Selangor empat mata selepas dua perlawanan dalam turnamen
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
