Mayat rentung dalam kereta terbakar di pesisir pantai

BATU PAHAT - Satu jasad ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di pantai Kampung Sungai Lurus, pada petang Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Pegawai Bomba Kanan I Fadzil Salleh berkata, panggilan kecemasan mengenai kebakaran kenderaan itu diterima pada jam 4.51 petang.
Menurutnya, seramai lapan anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) bergegas ke lokasi sejauh 31 kilometer.
“Pasukan Keluar Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian, namun jentera tidak dapat memasuki laluan ke pesisir pantai kerana laluan sempit.
“Anggota menggunakan motosikal orang awam untuk meneruskan operasi penyelamatan sejauh kira-kira dua kilometer.
“Setibanya di lokasi, anggota mendapati sebuah kereta sedang terbakar dengan seorang mangsa terperangkap di dalamnya,” katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.

Fadzil berkata, anggota melaksanakan operasi pemadaman dengan menggunakan baldi yang diisi air sungai berhampiran.
Beliau menjelaskan, pasukan polis kemudiannya mengambil alih operasi untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian berkenaan.
Katanya, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan kenderaan terbabit sedang terbakar di kawasan pesisir pantai.
Ringkasan AI
- Jasad ditemukan rentung dalam kereta yang terbakar di pantai Kampung Sungai Lurus, Batu Pahat
- Panggilan kecemasan diterima pada jam 4.51 petang
- Lapan anggota bomba menggunakan motosikal orang awam untuk sampai ke lokasi kerana laluan sempit
- Operasi pemadaman dilakukan dengan baldi berisi air sungai
- Polis mengambil alih untuk siasatan lanjut, identiti mangsa masih belum dikenal pasti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

