HONOR telefon pintar pertama pasang MyDigital ID

Justin (kanan) dan Nik Hisham (kiri) menunjukkan paparan aplikasi MyDigital ID pada telefon pintar HONOR selepas majlis menandatangani MoU antara MyDigital ID Sdn Bhd dan HONOR Malaysia pada Rabu.
Justin (kanan) dan Nik Hisham (kiri) menunjukkan paparan aplikasi MyDigital ID pada telefon pintar HONOR selepas majlis menandatangani MoU antara MyDigital ID Sdn Bhd dan HONOR Malaysia pada Rabu.
A
A
A

HONOR Malaysia menjadi jenama telefon pintar pertama di negara ini yang menyokong inisiatif MyDigital ID, sekali gus memperkukuh usaha kerajaan mempercepat agenda pendigitalan negara.

Presiden HONOR Asia Pasifik Selatan, Justin Li berkata, kerjasama dengan MyDigital ID merupakan langkah paling tepat dalam perjalanan HONOR membangunkan ekosistem peranti pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang lebih mesra pengguna.

“Dengan perkembangan ini, kami akan mengembangkan aplikasi MyDigital ID dalam peranti HONOR di negara ini.

"Ia bukan sekadar soal pra-pasang aplikasi, sebaliknya mengenai membina kepercayaan digital bagi memastikan keselamatan, kemudahan dan privasi diintegrasikan dalam pengalaman digital rakyat," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MyDigital ID Sdn Bhd (MyDigital ID) dan HONOR Malaysia di sini pada Rabu.

Justin (dua dari kiri) dan Nik Hisham (dua dari kanan) bertukar dokumen pada Majlis Menandatangani MoU antara MyDigital ID Sdn Bhd (MyDigital ID) dan HONOR Malaysia.
Justin (dua dari kiri) dan Nik Hisham (dua dari kanan) bertukar dokumen pada Majlis Menandatangani MoU antara MyDigital ID Sdn Bhd (MyDigital ID) dan HONOR Malaysia.

Kerjasama strategik itu bermula dengan pelancaran model terbaharu, HONOR X9b 5G, yang secara rasmi hadir dengan aplikasi MyDigital ID.

Pelancaran telefon pintar baharu itu membolehkan pengguna mendaftar biometrik terus dalam aplikasi MyDigital ID bagi mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dan swasta dengan lebih mudah dan selamat.

Menurut Justin, Malaysia merupakan salah satu pasaran utama HONOR di peringkat global. Justeru, syarikat itu komited bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan rakyat dapat mengakses perkhidmatan digital dengan lebih mudah, selamat dan inklusif.

"Menerusi ekosistem AI yang berfokuskan kepada manusia dan platform identiti digital yang dipercayai, kami bukan hanya menawarkan peranti lebih selamat, malah membina masa depan digital lebih kukuh untuk semua rakyat Malaysia," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Justin menegaskan, kerjasama itu juga akan diperkukuh menerusi promosi, penjenamaan bersama dan inisiatif kesedaran awam bagi memastikan lebih ramai rakyat memahami kepentingan serta manfaat MyDigital ID.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID, Nik Hisham Nik Ibrahim menegaskan bahawa kerjasama itu membuktikan kejayaan apabila kerajaan dan industri teknologi berganding bahu dalam membina masa depan digital negara.

"Pengguna kini boleh menikmati identiti digital yang selamat sebaik sahaja membuka kotak peranti.

"Pada masa depan, kami berharap kerjasama ini diperluaskan ke platform lain untuk menjadikan pengalaman rakyat lebih mudah dan inklusif," tambahnya.

Ringkasan AI

  • HONOR Malaysia adalah jenama telefon pintar pertama di Malaysia yang menyokong inisiatif MyDigital ID
  • Kerjasama dengan MyDigital ID adalah langkah HONOR dalam membangunkan ekosistem peranti pintar berbasis AI
  • Model terbaru HONOR, X9b 5G, akan dilengkapi dengan aplikasi MyDigital ID
  • Kerjasama ini bertujuan untuk memudahkan akses kepada perkhidmatan kerajaan dan swasta dengan lebih mudah dan selamat
  • HONOR berkomitmen bekerja sama dengan kerajaan Malaysia untuk mencapai agenda pendigitalan negara dan mempermudah akses perkhidmatan digital

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!