Bapa Amir Raja Lawak meninggal dunia

PELAWAK terkenal, Amir Raja Lawak berkongsi khabar duka apabila bapanya, Azmi Deris atau lebih dikenali sebagai Abe Mie Usm, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian pada malam Isnin.
Berita pemergian itu dimaklumkan sendiri Amir menerusi satu hantaran di laman Facebooknya.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Dukacita dimaklumkan abah saya Azmi (Abe Mie Usm) telah menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi di HUSM Kubang Kerian. Apa-apa urusan akan saya maklumkan semula di sini. Semoga abah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan ahli syurga. Aamiin,” tulisnya.
Menurut Amir, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan pada jam 9 pagi di Masjid Desa Rahmat sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Tok Kenali, Kubang Kerian untuk dikebumikan.
Amir turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah menitipkan doa serta menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat arwah bapanya.
“Terima kasih banyak-banyak pada yang mendoakan dan menghadiahkan al-Fatihah buat arwah abah saya,” ujarnya.
Difahamkan, pada pertengahan Julai lalu Amir pernah memaklumkan bahawa bapanya menghidap kanser usus dan keadaan kesihatan Allahyarham semakin uzur sebelum menghembuskan nafas terakhir semalam.
Ringkasan AI
- Amir Raja Lawak mengumumkan pemergian bapanya, Azmi Deris atau Abe Mie Usm di Hospital Universiti Sains Malaysia
- Bapanya menghembuskan nafas terakhir pada malam Isnin
- Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Desa Rahmat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Kenali, Kubang Kerian
- Amir mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan menghadiahkan al-Fatihah untuk bapanya
- Bapa Amir, Azmi Deris, sebelum meninggal telah didiagnosis dengan kanser usus dan keadaannya semakin uzur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
