Polis cekup 29 'Superman' jalan raya

ISKANDAR PUTERI – Seramai 29 ‘Superman’ jalan raya ditahan dalam operasi samseng jalanan di Kilometer (km) 6.2 Lebuhraya Link Kedua (dari arah Tuas ke Utara) dan Lebuhraya Bahru–Pontian (Plaza Tol Perling arah Gelang Patah) awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kesemua individu berusia lingkungan 14 hingga 28 tahun itu diperiksa bersama sejumlah 27 motosikal dalam operasi berkenaan.
Menurutnya, sebanyak 64 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan tidak mematuhi spesifikasi kenderaan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Lokasi berkenaan telah dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan kumpulan motosikal untuk melakukan kegiatan berbahaya iaitu berlumba haram dan melakukan aksi berbahaya.
“Difahamkan, JPJ turut menyita 25 motosikal di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas pelbagai kesalahan seperti ubah suai struktur kenderaan (ekzos), nombor pendaftaran ‘fancy’ yang tidak mengikut peraturan, tiada lesen memandu, tiada cermin sisi, tiada perlindungan insurans dan lain-lain.
“Selain itu, dua lelaki warga asing berusia 19 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan mereka turut disita di bawah Seksyen 64 akta sama,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Sabtu.
Dalam pada itu, Kumarasan berkata, pihaknya memberikan peringatan keras kepada mana-mana individu yang cuba melakukan aktiviti samseng jalanan di kawasan Iskandar Puteri kerana ia jelas mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Operasi ini akan dilakukan secara berterusan bagi mencegah kegiatan lumba haram dan memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terjamin,” katanya.
Ringkasan AI
- Seramai 29 'Superman' jalan raya ditahan dalam operasi samseng jalanan
- Individu yang ditahan berusia 14 hingga 28 tahun dan 27 motosikal diperiksa
- Sebanyak 64 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan berkaitan kenderaan
- JPJ menyita 25 motosikal atas pelbagai kesalahan termasuk ubah suai struktur kenderaan
- Operasi ini dijalankan di Iskandar Puteri untuk mencegah lumba haram dan memastikan keselamatan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
