Libat urus RUU Mufti Wilayah Persekutuan masih dijalankan - Mohd Na’im

Mohd Na'im. Foto Bernama
Mohd Na'im. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Sesi libat urus membabitkan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 masih dijalankan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata, arahan telah dikeluarkan kepada Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan supaya usaha itu dipergiatkan bagi memastikan kefahaman yang lebih meluas mengenai tujuan serta objektif RUU terbabit.

"Keperluan dalam konteks Kabinet adalah supaya lebih banyak libat urus diadakan dengan pihak-pihak yang berkaitan dan pihak berkepentingan untuk diberi penjelasan.

"Kita akan terus (lakukan libat urus) sampai satu waktu yang kita rasa sesuai, RUU itu masih ada lagi di Parlimen dan tidak ditarik balik atau dibatalkan, jadi yang penting ialah memberikan kefahaman yang jelas sebab banyak kekeliruan timbul dan memerlukan penjelasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Karnival Keluarga Sejahtera 2025 di sini pada Sabtu.

Pada 29 Ogos lepas, media melaporkan perbahasan untuk meluluskan RUU berkenaan ditangguhkan buat kali keempat sejak rang undang-undang itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Julai tahun lepas.

RUU itu antara lain bertujuan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubung dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.

RUU itu turut memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tatacara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung dengan hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.

Rang undang-undang itu juga memperincikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam dengan dipengerusikan mufti. - Bernama

Artikel Berkaitan:

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Sesi libat urus RUU Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 masih berlangsung
  • Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan diberi arahan untuk mempergiat usaha libat urus
  • Tujuan libat urus adalah untuk memastikan pemahaman luas mengenai objektif RUU
  • RUU bertujuan mengatur peruntukan berkaitan mufti dan penentuan hukum syarak
  • RUU juga memperincikan penubuhan Jawatankuasa Fatwa dan fungsi mufti dalam nasihat mengenai hukum syarak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!