Pang Ron–Su Yin meluncur laju di Shenzhen

PASANGAN beregu badminton campuran negara, Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin meneruskan momentum selaku wakil Malaysia yang berjaya melepasi pusingan pertama Masters China Super 750 di Shenzhen Arena pada Rabu.
Gandingan ranking ke-14 dunia itu mempamerkan aksi bertenaga apabila mudah menundukkan pasangan Indonesia, Adnan Maulana–Indah Cahya Sari Jamil, dengan straight set 21-6, 21-14 hanya dalam masa 27 minit.
Kemenangan tersebut turut meletakkan mereka 1-0 mendahului dalam rekod pertemuan dengan gandingan ranking ke-31 dunia berkenaan.
Pang Ron–Su Yin seterusnya akan berdepan wakil tuan rumah yang juga pilihan kedua kejohanan, Feng Yan Zhe–Huang Dong Ping, selepas pasangan itu menewaskan beregu India, Dhruv Kapila–Tanisha Crasto, 21-19, 21-13 dalam masa 42 minit.
Bagaimanapun, rentak berbeza dialami barisan beregu lelaki negara apabila Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi–Yap Roy King terpaksa akur sekali lagi selepas tunduk kepada pasangan India ranking ketujuh dunia, Satwiksairaj Rankireddy–Chirag Shetty, 24-22, 21-13 dalam masa 42 minit.
Kekalahan itu menyaksikan mereka gagal menebus kekecewaan selepas turut tewas kepada lawan sama 14-21, 22-20, 16-21 di suku akhir Terbuka Hong Kong Super 500 minggu lalu.
Sementara itu, beregu senior Ong Yew Sin–Teo Ee Yi pula tidak berdaya menyaingi pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh–Wang Chi Lin, apabila tumbang mudah 21-10, 21-7 dalam masa hanya 20 minit.
Ringkasan AI
- PASANGAN beregu badminton campuran negara, Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin, menang mudah menentang pasangan Indonesia, Adnan Maulana–Indah Cahya Sari Jamil
- Gandingan Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin menang dengan straight set 21-6, 21-14 dalam masa 27 minit
- Kemenangan itu meningkatkan rekod perlawanan Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin ke 1-0 mendahului gandingan Indonesia
- Hoo Pang Ron–Cheng Su Yin akan berdepan wakil tuan rumah Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di pusingan seterusnya
- Beregu lelaki Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi–Yap Roy King tunduk kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy–Chirag Shetty
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
