Kempen #GameOverIsrael

NEW YORK - Komuniti antarabangsa terus menzahirkan solidariti dengan Palestin apabila ia melancarkan kempen #GameOverIsrael menjelang Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS).
Terbaharu, gabungan pertubuhan advokasi dan kumpulan peminat menggesa persekutuan bola sepak Eropah memboikot Israel menerusi mesej dipaparkan pada papan iklan gergasi Times Square di New York pada Selasa.
Inisiatif #GameOverIsrael dilancarkan Jawatankuasa Kebangsaan Antidiskriminasi Amerika-Arab (ADC) itu menuntut sejumlah negara Eropah termasuk Belgium, England dan Perancis supaya memulaukan pasukan kebangsaan Israel serta pemain mereka dilarang bertanding pada liga domestik sebagai 'hukuman' berikutan perang genosid yang sudah berlarutan selama hampir 24 bulan di Gaza.
Difahamkan, kempen itu turut disokong kumpulan hak asasi manusia, aktivis dan personaliti terkenal.
Novara Media yang berpusat di Britain mendedahkan beberapa penyokong kempen itu seperti bekas pemain bola sepak terkenal Perancis, Eric Cantona dan Gary Lineker yang pernah bermain untuk pasukan England.
Selain itu, ia juga disokong bekas Menteri Kewangan Greece, Yanis Varoufakis, aktor Ireland, Liam Cunningham dan artis Britain, Bobbly Vylan.
Menurut laporan media, protes yang diselaraskan telah dirancang di sembilan negara Eropah bagi menuntut persekutuan bola sepak mengambil pendirian menentang terhadap kekejaman dilakukan Zionis ke atas penduduk Palestin.
Sementara itu, bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Richard Falk berkata, Israel telah menggunakan sukan dan acara kebudayaan untuk menutup pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan mereka.
"Kempen boikot ini adalah sah dan penting dari segi moral. Tindakan berdiam diri sama seperti bersubahat dengan kekejaman," tegasnya. - Agensi
Info:
>Sekurang-kurangnya 774 atlet dan ahli komuniti sukan Gaza terkorban dalam perang genosid sejak lebih 23 bulan lalu.
>Pada bulan lalu, Persatuan Jurulatih Bola Sepak Itali mendesak persekutuan kebangsaan supaya menggantung penyertaan Israel. Tidak lama selepas itu, persekutuan di Norway berjanji untuk menyalurkan hasil kutipan daripada perlawanan kelayakan menentang Israel kepada bantuan kemanusiaan untuk Gaza.
>Pada Isnin, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menuntut Tel Aviv dikecualikan daripada acara sukan antarabangsa.
Ringkasan AI
- Komuniti antarabangsa menzahirkan solidariti dengan Palestin melalui kempen #GameOverIsrael untuk Piala Dunia 2026 di AS Gabungan pertubuhan advokasi dan kumpulan peminat menggesa boikot terhadap Israel di Times Square, New York Kempen menuntut negara Eropah memulaukan pasukan dan pemain Israel berikutan perang genosid di Gaza Kempen disokong oleh hak asasi manusia, aktivis, dan personaliti terkenal termasuk Eric Cantona dan Gary Lineker Protes dirancang di sembilan negara Eropah untuk menentang kekejaman Zionis terhadap Palestin
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

