Nasihat Razif untuk Sze Fei-Nur Izzuddin

Cabaran Paris 2025, Sze Fei-Nur Izzuddin terhenti dalam pusingan ketiga.
Cabaran Paris 2025, Sze Fei-Nur Izzuddin terhenti dalam pusingan ketiga.
A
A
A

BEREGU profesional negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani diharap segera mencari jalan untuk bangkit selepas mempamerkan aksi hambar dalam tiga kejohanan terakhir.

Legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek menegaskan, prestasi tidak konsisten yang ditunjukkan beregu di ranking ketiga dunia itu boleh menjejaskan keyakinan mereka jika tidak segera diperbaiki.

“Kalau mereka asyik kalah awal, ia akan merosakkan keyakinan diri. Keyakinan itu penting. Sekurang-kurangnya, kalau boleh dalam setiap kejohanan kekal sampai ke separuh akhir pun sudah memadai. Tetapi nampaknya agak sukar sekarang.

“Saya yakin mereka boleh bangkit, tetapi perlu kerja lebih keras untuk memperbaiki kelemahan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Dalam tiga kejohanan terakhir iaitu Terbuka China, Kejohanan Dunia dan Terbuka Hong Kong, gandingan negara itu terkandas di pusingan awal sekali gus menampakkan kemerosotan prestasi.

Menurut Razif, kelemahan utama Sze Fei–Nur Izzuddin adalah dari segi kelajuan permainan dan konsistensi, walaupun masih memiliki kemahiran serta taktikal yang baik.

“Dari segi teknik dan taktikal mereka tiada masalah, tetapi kurang laju dan tidak konsisten. Bila lambat, mereka mudah ketinggalan. Sampai set penentuan pun sudah sukar.

“Bila tiada konsistensi, mereka banyak buat kesilapan sendiri. Jadi saya percaya, mereka perlu lebih berlatih, tingkatkan kecergasan serta tetapkan sasaran jelas untuk bangkit semula,” jelasnya.

Tambah Razif, Sze Fei mempunyai kekuatan di bahagian depan gelanggang manakala Nur Izzuddin lebih menyerlah dalam corak menyerang. Justeru, kedua-duanya perlu seimbang dan memperbaiki kelemahan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Masing-masing kena main peranan. Izzuddin perlu lebih cergas kerana dia banyak menyerang, manakala Sze Fei perlu beri lebih sokongan di belakang. Kalau dapat seimbangkan, saya yakin mereka boleh kembali ke prestasi sebenar,” ujar Razif.

Ringkasan AI

  • BEREGU profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, mempamerkan aksi hambar dalam tiga kejohanan terakhir
  • Prestasi tidak konsisten beregu ranking ketiga dunia boleh merosakkan keyakinan diri
  • Kekurangan dari segi kelajuan permainan dan konsistensi merupakan kelemahan utama Sze Fei-Nur Izzuddin
  • Menurut Datuk Razif Sidek, keduanya masih memiliki kemahiran dan taktikal yang baik
  • Razif mencadangkan peningkatan latihan, kecergasan, dan penyesuaian strategi untuk memperbaiki prestasi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!