Ilmu Superbon, Nong-O barakan Jojo

BERTUNJANGKAN kesabaran hasil didikan legenda Muay Thai, Superbon dan Nong-O, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar kembali ke landasan kemenangan apabila menumbangkan petinju Maghribi, Zakaria El Jamari menerusi kemenangan Technical Knockout (TKO) pada ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Petarung muda berusia 19 tahun itu hanya memerlukan kira-kira dua minit untuk menamatkan cabaran dalam kategori Flyweight, sekali gus menutup episod dua kekalahan berturut-turut kepada Johan ‘Panda Kick’ Estupinan dan Diego Paez sebelum ini.
Kemenangan tersebut menambah rekod cemerlang Johan, atau lebih dikenali sebagai Jojo, kepada tujuh kemenangan daripada 10 penampilan sejak menyertai ONE Championship.
Menurut Jojo, kunci utama kejayaan kali ini ialah kesabaran – satu nilai penting yang dipelajarinya sepanjang sesi latihan intensif bersama Superbon dan Nong-O di Superbon Training Camp, Thailand.
“Mereka sentiasa tekankan supaya jangan gopoh, ikut perancangan dan tahu bila masa sesuai untuk lepaskan serangan.
“Saya sabar tunggu peluang dan apabila nampak ruang, saya tahu masa itu adalah detik KO,” katanya.
Selepas pertarungan tersebut, bintang muda kelahiran Malaysia itu turut menyatakan hasrat untuk menebus semula kekalahan dengan menentang semula Estupinan atau Paez, selain menyatakan kesediaannya untuk menghadapi sesiapa sahaja selepas ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
