SMK Meru tempah tiket final Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Meru melakar kebangkitan penuh bergaya daripada ketinggalan satu gol menyingkirkan cabaran SMK Telok Panglima Garang, 3-2 untuk mara ke final Kejohanan Bolasepak Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) 2025, pada Khamis.
Perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Padang B Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 28 itu, SMK Meru terlebih dulu dikejutkan gol awal lawan separuh masa pertama, namun segera bangkit dengan tiga jaringan untuk mendahului perlawanan.
Bagaimanapun, kelekaan separuh masa kedua menghukum pasukan dari Klang itu apabila SMK Telok Panglima Garang berjaya merapatkan jurang, sekali gus menjadikan aksi bertambah tegang menjelang wisel penamat.
Sementara itu, penolong pengendali SMK Meru, Mat Hassan Mat Rofi, mengakui jagoan Klang itu terpaksa bekerja keras untuk mempertahankan kelebihan selepas hilang fokus pada separuh masa kedua.
“Syukur alhamdulillah kita dapat melayakkan diri ke pentas final. Pada separuh masa pertama, kita dikejutkan dengan gol awal lawan, namun pemain berjaya bangkit dengan menjaringkan tiga gol.
“Namun pada babak kedua, kita mula hilang fokus dan banyak melakukan kesilapan hingga memberikan sepakan percuma kepada pihak lawan. Lawan ambil kesempatan untuk merapatkan jurang.
“Selepas beberapa pertukaran, pemain kembali fokus dan berjaya mengekalkan kedudukan hingga wisel penamat,” katanya kepada Sukan Sinar.
INFO
Kejohanan ini mendapat sokongan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
