Helikopter hilang di Indonesia ditemukan terhempas, lapan maut

KALIMANTAN SELATAN – [DIKEMAS KINI] Kehilangan sebuah helikopter sejak tiga hari lalu berakhir tragedi apabila pesawat itu ditemui terhempas dan terbakar di kawasan hutan pergunungan Meratus, Tanahbumbu, mengorbankan kesemua lapan individu di dalamnya termasuk juruterbang, jurutera dan penumpang
Helikopter jenis BK117-D3 dengan nombor pendaftaran PK-RGH milik syarikat penerbangan Eastindo itu dilaporkan hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sjamsir Alam, Kotabaru pada pagi Isnin lalu menuju ke Lapangan Terbang Tjilik Riwut, Palangka Raya, Kalimantan Tengah.
Bangkai helikopter ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada koordinat 03° 5’6” S – 115° 37’39.07” E dalam kawasan hutan yang sukar diakses.
Seorang sukarelawan SAR, Ilham berkata, pemandangan yang dilihat amat memilukan apabila ada mayat yang masih utuh manakala sebahagian lagi hangus terbakar.
“Kami menemui dua jenazah masih utuh manakala tiga lagi ditemui rentung di dalam pesawat. Semuanya sudah meninggal dunia,” katanya seperti dipetik media tempatan pada Khamis.
Pengarah Operasi Basarnas, Laksamana Pertama Yudhi Bramantyo, pula memaklumkan seorang mangsa ditemui pada jarak kira-kira 100 meter dari bangkai helikopter pada Rabu petang.
“Pemerhatian awal mendapati terdapat lagi mangsa di dalam badan helikopter, namun jumlahnya belum dapat dipastikan berikutan hujan lebat dan keadaan gelap. Helikopter berada dalam keadaan terbakar,” ujarnya.
Seramai 260 anggota pasukan penyelamat gabungan ditempatkan di lokasi sejak malam Rabu bagi meneruskan operasi mengeluarkan kesemua mangsa.
Helikopter tersebut dilaporkan hilang daripada radar kira-kira 10 minit selepas berlepas pada jam 8.46 pagi waktu tempatan. Ia sepatutnya tiba di Palangka Raya pada jam 10.14 pagi.
Indonesia yang terdiri daripada lebih 17,000 pulau bergantung kuat pada pengangkutan udara, namun negara itu berdepan rekod keselamatan penerbangan yang lemah dengan beberapa nahas maut direkodkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

