Wanita maut terjatuh kondominium hamil, ditinggal kekasih

BALIK PULAU – Seorang wanita berusia 34 tahun yang dipercayai hamil lima bulan maut selepas terjatuh dari tingkat 28 sebuah kondominium di Bayan Lepas, malam Rabu.
Mangsa yang tidak bekerja difahamkan baru ditinggalkan oleh kekasihnya ditemukan tidak bernyawa di kawasan parkir kondominium oleh orang awam kira-kira jam 9.10 malam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pemeriksaan awal mendapati tingkap sliding di bilik rumah mangsa dalam keadaan terbuka.
“Mangsa tinggal bersama ibunya di tingkat 28 kondominium berkenaan kerana jiran sering ternampak mereka keluar masuk bersama.
“Pemeriksaan mendapati terdapat sebuah meja di tepi tingkap berkenaan dan kesan tapak kaki ditemui di atasnya.
“Hasil temu bual dengan ibu mangsa mendapati mangsa hidup dalam tekanan setelah ditinggalkan kekasihnya,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sazalee berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita berpakaian kostum anime menyerupai karakter Kurumi Tokisaki ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari kondominium yang sama.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.20 malam, mayat mangsa ditemui orang awam di kawasan parkir berhampiran blok kediaman selepas terdengar bunyi dentuman kuat.
Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, dia terdengar bunyi dentuman sebelum keluar rumah untuk memeriksa keadaan.
Mangsa sebelum ini dilihat sering berada di kawasan lobi kondominium dengan memakai kostum anime.
Difahamkan, kali terakhir mangsa dilihat bersama seorang wanita dipercayai ibunya pada hari kejadian.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang kira-kira jam 12.30 tengah malam untuk dibedah siasat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

