Johor mampu muncul jadi kuasa ekonomi kreatif serantau - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU – Johor berhasrat muncul sebagai hab industri digital dan kreatif ASEAN dengan memanfaatkan potensi ekonomi kreatif yang kian berkembang pesat.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, sektor itu mampu menjadi pemacu utama inovasi, penciptaan pekerjaan serta eksport bernilai tinggi.
“Ekonomi jingga yang merangkumi industri kreatif dan budaya seperti media, reka bentuk, teknologi dan seni boleh menjadi enjin pertumbuhan berkuasa.
"Industri ini tidak lagi dipinggir, sebaliknya berada di tengah-tengah daya saing negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Kandungan Digital ASEAN (ADCS) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini pada Selasa.

Menurut Onn Hafiz, Korea Selatan menjadi contoh jelas apabila industri kandungan kreatif negara itu bernilai lebih AS$113 bilion menyediakan lebih 600,000 pekerjaan dan mengeksport lebih 12 bilion dollar Amerika setahun.
“Dalam tempoh kurang tiga dekad, kandungan kreatif Asia telah berubah daripada pinggiran kepada arus perdana global, malah bersaing serta mencipta trend baharu bersama industri di Hollywood dan Eropah,” katanya.
Onn Hafiz berkata, Johor mempunyai kelebihan strategik termasuk lokasi, infrastruktur kukuh dan bakat tempatan untuk melonjak sebagai kuasa kreatif di rantau ini.
“Dengan pelaburan pada penceritaan, pereka, animator dan pemuzik, kita boleh membina ekosistem yang bukan sahaja mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi malah mengeksport identiti Johor ke seluruh dunia,” katanya.
Beliau menambah, penganjuran ADCS 2025 buat julung kali di Johor turut mengukuhkan kedudukan negeri itu dalam peta kandungan digital sekali gus sejajar dengan persiapan Tahun Melawat Johor 2026.
“Sidang kemuncak ini adalah kemenangan rakyat Johor kerana ia meletakkan negeri sebagai pintu masuk kandungan digital antara Malaysia dan ASEAN, sekali gus membuka ruang pelaburan, pekerjaan bernilai tinggi dan pertumbuhan mampan,” katanya.
Onn Hafiz turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Digital serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kerana memilih Johor sebagai tuan rumah ADCS 2025, yang disifatkannya sebagai langkah berani ke arah hab digital dan kecerdasan buatan (AI).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


