Ketepikan kontroversi bangkit bergelar juara dunia

Tang Jie (kiri) dan Ee Wei muncul juara dunia setelah menewaskan pasangan China dalam aksi final Kejohanan Dunia di Paris pada Ahad. Foto AFP
Tang Jie (kiri) dan Ee Wei muncul juara dunia setelah menewaskan pasangan China dalam aksi final Kejohanan Dunia di Paris pada Ahad. Foto AFP
A
A
A

KISAH kebangkitan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang melalui kontroversi apabila berpisah sementara dan kemudian kembali bersatu sebelum muncul juara dunia 2025 ibarat drama yang penuh warna-warni dalam dunia badminton.

Pasangan nombor empat dunia itu membuktikan kematangan apabila sanggup mengenepikan ego dan krisis demi mengejar matlamat bersama di pentas antarabangsa.

Penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pencapaian tersebut sebagai ikhtibar bukan sahaja buat Tang Jie-Ee Wei, tetapi juga kepada semua beregu negara kerana perselisihan faham antara rakan sepasukan sememangnya tidak dapat dielakkan.

“Ibarat selepas bergaduh, makin sayang dan kian erat. Mereka sedar matlamat utama yang diburu tidak akan tercapai jika terus berpecah.

“Apa yang berlaku ini membuktikan salah faham boleh diselesaikan secara baik tanpa menjejaskan prestasi di gelanggang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Tang Jie-Ee Wei bergelar juara dunia selepas menumpaskan wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-15, 21-14 dalam aksi final Kejohanan Dunia di Paris, Perancis pada Ahad.

Sebagai rekod, pasangan itu pernah dipisahkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Mac lalu sebelum kembali disatukan dua bulan kemudian susulan salah faham sesama mereka.

Pekan turut melihat kejayaan Tang Jie- Ee Wei sebagai perkembangan positif buat kem beregu negara, khususnya apabila jurulatih mereka, Nova Widianto berjaya melahirkan juara dunia baharu untuk Malaysia.

Nova sendiri bukan asing dalam dunia badminton apabila pernah bergandingan dengan Liliyana Natsir menjuarai Kejohanan Dunia sebanyak dua kali pada 2005 dan 2007.

Artikel Berkaitan:

“Kini Nova berjaya mencipta legasi baharu dengan menggilap Tang Jie–Ee Wei sehingga bergelar juara dunia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!