Anggota TUDM hilang selepas mandi di Sungai Kedondong

Muhammad Ammar kali terakhir dilihat kira-kira jam 4.30 petang ketika mandi bersama tiga rakannya di kawasan berkenaan.
Muhammad Ammar kali terakhir dilihat kira-kira jam 4.30 petang ketika mandi bersama tiga rakannya di kawasan berkenaan.
A
A
A

SERDANG – Polis sedang mengesan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan hilang selepas beriadah bersama rakan-rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali pada 23 Ogos lalu.

Individu terbabit dikenali sebagai Muhammad Ammar Mohd Ariffin, 27, kali terakhir dilihat kira-kira jam 4.30 petang ketika mandi bersama tiga rakannya di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, individu itu dilaporkan berada seorang diri selepas selesai mandi sebelum gagal dikesan.

“Pada 24 Ogos kira-kira jam 6 petang, rakan sebilik kursus cuba menghubungi individu ini, namun telefon bimbitnya didapati ditutup.

“Susulan itu, laporan polis dibuat pada 25 Ogos jam 4.16 petang oleh seorang anggota TUDM dari Institut Latihan Pengurusan Material (INSMAT), Bandar Kinrara, selepas individu ini tidak melaporkan diri semula untuk kursus,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati Ammar sedang mengikuti Kursus Penyelia Pengangkutan Kenderaan di INSMAT dan bertugas di Pangkalan Udara Subang.

Katanya, individu ini mempunyai ciri fizikal berkulit cerah, berambut lurus pendek serta berketinggian kira-kira 175 sentimeter.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan Ammar diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Sukri Che Mat, di talian 03-8076 2222 atau 03-8071 3136,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!