Mekanik sambar RM10,000 dalam empat minit terakhir

Ismail (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Shimano Surfcasting di Pantai Sepat, Kuantan pada Ahad.
Ismail (dua dari kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Shimano Surfcasting di Pantai Sepat, Kuantan pada Ahad.
A
A
A

KUANTAN - Ketika masa pertandingan berbaki empat minit, usaha tanpa jemu Mohamad Fazatul Aizam, 28, membuahkan hasil apabila spesies ikan bawal menyambar umpan udang hidup yang digunakan, sekali gus menjulangnya sebagai juara pertandingan memancing Shimano Surfcasting di Pantai Sepat di sini pada Ahad.

Bawal seberat 2.38 kilogram (kg) itu memastikan Mohamad Fazatul yang merupakan seorang mekanik, membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 selepas menewaskan lebih 400 peserta yang mengambil bahagian.

Tempat kedua disandang oleh Mohamad Alias, 54, yang menjinakkan ikan todak 1.794kg manakala Mohd Ridzuan Husaini, 31, yang menaikkan ebek 1.34kg menduduki tempat ketiga.

Dengan kemenangan itu Mohamad Alias membawa pulang RM1,000 manakala Mohd Ridzuan berpuas hati dengan RM500 dan hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Penghulu Mukim Penor, Ismail Zulkifli.

Pemandangan kawasan memancing di Pantai Sepat, Kuantan.
Pemandangan kawasan memancing di Pantai Sepat, Kuantan.

Mohd Fazatul berkata, kemenangan itu adalah antara kenangan paling manis sepanjang penglibatannya dalam arena memancing.

“Ramai rakan yang telah mula berputus asa apabila masa pertandingan hampir tamat. Ada yang telah menggulung pancing dan melipat khemah. Malah ada juga yang telah mula beredar dari kawasan pertandingan.

“Saya tetap dengan usaha di saat akhir. Syukur umpan udang hidup yang saya gunakan disambar ikan bawal, kira-kira 10 minit sebelum tamat pertandingan.

Artikel Berkaitan:

“Menyedari masa hampir tamat, saya menggulung tali dengan pantas walaupun bimbang risiko tali terputus akibat tekanan tinggi daripada ikan bawal. Alhamdulillah, saya berjaya mendaratkan ikan berkenaan empat minit sebelum siren penamat dibunyikan,’’ katanya.

Sementara itu jurucakap penganjur, Amir Ali Mohamad berkata, pertandingan sempena sambutan Hari Kebangsaan yang mendapat sokongan Tourism Malaysia itu berjaya mencapai matlamat dengan penyertaan lebih 400 peserta.

“Penggunaan logo dalam semua bahan promosi, replika cek dan latar belakang pentas berjaya memberi kesedaran awam, terutama dalam kalangan pemancing mengenai Tahun Melawat Malaysa 2026.

“Malah ada kalangan pemancing yang mengharapkan acara memancing dijadikan antara program teras Tahun Melawat Malaysia pada tahun depan,’’ katanya.

 

 

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!