Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 persaingan sihat

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin menunjukkan isyarat bagus sempena pelancaran Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 di Mydin USJ di Subang Jaya, baru-baru ini. Foto - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin menunjukkan isyarat bagus sempena pelancaran Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 di Mydin USJ di Subang Jaya, baru-baru ini. Foto - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SUBANG JAYA - Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 15 hingga 20 peratus sepanjang pelaksanaan Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 yang berlangsung bermula Khamis hingga 16 September depan.

Kempen berkonsepkan ala pilihan raya itu menyaksikan sebanyak 55 jenama terkenal ‘bertanding’ menawarkan promosi hebat kepada pelanggan sekali gus memacu kuasa beli pengguna.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, idea kreatif itu dijangka memberi impak besar kepada peningkatan jualan berikutan persaingan sihat antara jenama untuk menawarkan harga dan ganjaran paling menarik.

“Apabila sesuatu jenama memberi potongan harga 20 peratus, saingannya pula beri 30 peratus, begitu juga ada jenama beli satu percuma satu, mungkin yang lain beli satu percuma dua. 

"Ini persaingan sihat yang akhirnya memberikan manfaat kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui pada Sidang Media Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 di sini, baru-baru ini.

DR AMEER
DR AMEER

Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 berlangsung dari 24 Julai hingga 6 Oktober depan di semua cawangan Mydin di seluruh negara.

Pelanggan Mydin berpeluang mengundi jenama kegemaran mereka secara dalam talian melalui aplikasi MYDIN Rewards bermula dari 1 hingga 16 September ini.

Artikel Berkaitan:

Sebanyak 26 kerusi Parlimen dan 85 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan jenama meraih undian tertinggi akan bergelar YB (Yang Berharga).

Keputusan Pilihan Raya MYDIN akan diumumkan pada 18 September depan.

Pilihan bijak

Setiap pembelian satu produk daripada jenama yang mengambil bahagian di mana-mana cawangan Mydin akan dikira sebagai satu undi secara fizikal. 

Ameer berkata, antara barangan terlibat dalam pilihan raya itu termasuk minuman coklat dan beras lima kilogram yang ditawarkan pada harga RM10 dengan jumlah ganjaran keseluruhan yang bakal dinikmati pelanggan dianggarkan mencecah sehingga RM6.8 juta.

"Matlamat kami bukan sahaja untuk tingkatkan jualan, tetapi juga memberi ruang kepada pengguna membuat pilihan bijak kerana ini demokrasi jenama, bukan politik.

“Biasanya promosi berlaku secara biasa, kali ini jenama berlumba-lumba melakukannya. Jika satu jenama memberikan diskaun, jenama yang lain akan melakukan perkara sama, inilah menjadikan kempen ini luar biasa,” katanya.

Ameer (kanan) semasa sidang media khas Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 di Mydin USJ.
Ameer (kanan) semasa sidang media khas Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 di Mydin USJ.

Ameer turut menggalakkan pengguna membuat perbandingan harga dan tidak mudah terpedaya dengan retorik promosi.

"Kami mahu rakyat menjadi pengguna bijak dan mereka perlu semak harga, bandingkan tawaran dan pastikan tidak tertipu. 

“Mereka perlu menggunakan kuasa undi masing-masing tetapi dalam kes ini mereka perlu membeli dengan bijak," ujarnya.

Cabaran sihat

Mengulas lanjut Ameer menjelaskan, idea kempen itu tercetus hasil idea kreatif pasukan dalaman yang ingin mengetengahkan budaya pilihan raya dalam bentuk lebih santai dan memberi manfaat langsung kepada pengguna.

"Kita tahu pilihan raya di Malaysia ini tak habis-habis, malah setiap hari ahli politik berkempen," jelas beliau.

Beliau memberitahu, kempen berkonsepkan 'manifesto harga' itu dijalankan di semua 70 cawangan Mydin di seluruh negara dengan kerjasama erat daripada pihak pembekal dan jenama terlibat.

"Ini usaha dua hala yang mana jenama bertanding akan menentukan sendiri tawaran mereka. Kami di Mydin akan membantu melibatkan platform dan promosi,” jelasnya.

Pelanggan yang hadir teruja dan memberikan sokongan ketika pengumuman jenama yang bertanding pada Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 di Mydin USJ di Subang Jaya.
Pelanggan yang hadir teruja dan memberikan sokongan ketika pengumuman jenama yang bertanding pada Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 di Mydin USJ di Subang Jaya.

Ameer juga menyifatkan kempen itu sebagai satu cabaran sihat kepada jenama khususnya dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar.

"Kos semakin tinggi dan ini masa terbaik untuk pelbagai jenama terlibat menunjukkan tanggungjawab sosial mereka. Apabila mereka bersaing, rakyat akan menang," kata beliau.

Beliau turut berharap kempen itu bukan saja melonjakkan jualan tetapi juga menjadi penanda aras baharu dalam strategi pemasaran peruncitan di Malaysia.

"Mydin menjadi platform untuk satukan jenama dan rakyat. Ia bukan politik, tapi persaingan sihat demi manfaat bersama," kata Ameer. .

Sebarang maklumat lanjut mengenai kempen itu, orang ramai boleh melayari laman web rasmi MYDIN di www.mydin.my atau mengikuti saluran media sosial MYDIN Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!