Pengantin lelaki diserang strok, isteri lesapkan wang pampasan

BEIJING – Seorang lelaki berusia 61 tahun di Shanghai, China, dilaporkan lumpuh selepas diserang strok pada hari perkahwinannya.
Lebih menyedihkan, isterinya didakwa menggunakan wang simpanan berjumlah 1.1 juta yuan (kira-kira RM783,000) dan hanya meninggalkan 42 yuan (RM27.70) dalam akaunnya.
Menurut laporan News Morning Post, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Wang pernah bercerai lebih 20 tahun lalu dan membesarkan anak perempuannya seorang diri.
Pada tahun 2016, beliau berkahwin semula dengan Ren Fang, wanita yang 16 tahun lebih muda daripadanya.
Bagaimanapun, pada hari perkahwinan, Wang tiba-tiba rebah akibat serangan strok dan sejak itu kesihatannya semakin merosot.
Pada 2019, beliau lumpuh di bahagian kiri badan serta hanya mampu berbaring di katil.
Kemudian pada 2020, Wang dan anaknya menerima pampasan lebih 2 juta yuan (kira-kira RM1.32 juta) termasuk sebuah pangsapuri baharu selepas kediaman lama mereka dirobohkan.
Ren kemudian memohon status sebagai penjaga tunggal Wang dan menuntut harta pampasan tersebut.
Susulan itu, Ren memfailkan tuntutan hak penjaga tunggal dan cuba merampas pampasan berkenaan, namun mahkamah hanya memberikan 1.1 juta yuan (kira-kira RM726,000) kepadanya.
Wang kemudian didakwa memindahkan wang ke akaun yang dikawal Ren sebelum wanita itu mengeluarkan sejumlah besar wang, kadangkala sehingga 50,000 yuan (kira-kira RM33,000) sehari, hingga baki tinggal 42 yuan (kira-kira RM27.70) sahaja.
Ren bagaimanapun mempertahankan tindakannya dengan alasan wang digunakan untuk kos penjagaan di rumah jagaan serta kesihatan Wang, selain mendakwa ia disimpan semula di kampung halaman bagi mendapat kadar faedah lebih tinggi.
Namun, mahkamah berpihak kepada anak Wang dengan memutuskan hak penjagaan perlu dikongsi bersama antara Ren dan anak tirinya.
Segala keputusan kewangan kini hanya boleh dibuat dengan tandatangan kedua-duanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

