Sindiket seludup beras Siam guna bot dan treler tumpas

Wan Jamal Abdul Salam (tengah) menunjukkan beras yang dirampas pada sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM Kelantan, Rantau Panjang pada Isnin.
Wan Jamal Abdul Salam (tengah) menunjukkan beras yang dirampas pada sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM Kelantan, Rantau Panjang pada Isnin.
A
A
A

PASIR MAS – Kegiatan sindiket menyeludup lebih 173 tan metrik beras Siam dari negara jiran menggunakan modus operandi bot di pangkalan haram sebelum dipindahkan ke treler di Tanah Merah dan Pasir Mas berjaya dipatahkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, operasi khas selama sebulan bermula 15 Julai hingga 15 Ogos lalu itu berjaya menumpaskan sindiket dengan penahanan lima pemandu treler termasuk seorang kelindan yang dipercayai menjalankan kegiatan secara terancang di kawasan terpencil.

“Mereka menggunakan bot dari pangkalan haram, dipindahkan ke lori kecil, kemudian dimuat semula ke treler sepanjang 12.2 meter di kawasan lapang dan jalan sunyi.

“Taktik ini digunakan bagi mengelak dikesan ketika membawa keluar beras ke luar Kelantan, khususnya ke Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan JKDM Kelantan, Rantau Panjang pada Isnin.

Treler yang digunakan suspek untuk menyeludup beras Siam.
Treler yang digunakan suspek untuk menyeludup beras Siam.

Menurutnya, keenam-enam lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika dipercayai baru selesai memindahkan keseluruhan 3,467 guni beras.

Katanya, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM2.04 juta, merangkumi nilai beras RM468,045, cukai RM187,718, serta lima treler bernilai RM1.39 juta.

Tambahnya, treler panjang yang digunakan mampu memuatkan sehingga 40 tan beras dalam satu perjalanan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan hingga lima tahun serta denda tidak kurang 10 kali nilai barang bagi kesalahan pertama.

“Beras merupakan barang larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

“Rampasan kali ini adalah yang terbesar dicatatkan oleh JKDM Kelantan untuk tahun ini melibatkan sindiket berskala besar,” katanya.

JKDM turut meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan melalui Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 dengan jaminan kerahsiaan identiti pemberi maklumat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!