Trump berseloroh mahu beraksi di Piala Dunia 2026

Trump turut mengumumkan bahawa majlis undian rasmi Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung di Washington, Disember ini. Foto AFP
Trump turut mengumumkan bahawa majlis undian rasmi Piala Dunia FIFA 2026 akan berlangsung di Washington, Disember ini. Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berseloroh bahawa beliau mungkin turun beraksi di Piala Dunia 2026, dengan mendakwa dirinya seorang atlet yang sangat baik serta kelihatan hebat apabila memakai seluar pendek.

Bercakap dalam satu sidang media bersama Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, Trump bergurau mengenai hasratnya untuk menyertai kejohanan bola sepak terbesar dunia itu yang akan berlangsung di Amerika Syarikat tahun depan.

“Saya mungkin bermain. Saya lihat gaji pemain bola sepak ini cukup lumayan... mungkin saya cuba beraksi! Saya seorang atlet yang baik,” katanya sambil tersenyum.

Trump turut menceritakan mengenai anak lelakinya, Barron, yang disifatkan sebagai seorang pemain bola sepak berbakat dan memiliki ketinggian luar biasa.

“Anak saya seorang atlet yang bagus dan juga pemain bola sepak yang baik. Agak tinggi untuk seorang pemain bola, dia setinggi 6 kaki 9 inci. Itu cukup tinggi, bukan?” ujarnya.

Infantino kemudian membalas sambil ketawa: “Ya, itu memang tinggi, tetapi itu bagus!”

Namun, Trump meneruskan gurauannya: “Saya mungkin akan pakai seluar pendek bola sepak. Saya nampak sangat hebat dengan seluar pendek dan sertai permainan,” katanya, mencetuskan gelak tawa orang ramai.

Piala Dunia 2026 akan berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, dengan Trump sebelum ini lantang menyokong penganjuran kejohanan itu di rantau Amerika Utara.

Beliau turut mengesahkan bahawa undian rasmi Piala Dunia 2026 akan diadakan di Washington pada Disember ini.

Artikel Berkaitan:

Walaupun tidak akan benar-benar beraksi bersama skuad kebangsaan Amerika Syarikat, Trump dijangka tetap menjadi tumpuan sepanjang kejohanan sebagaimana yang berlaku ketika Piala Dunia Kelab baru-baru ini.

Pada kejohanan tersebut, Trump dilihat berada di atas pentas bersama skuad Chelsea ketika pasukan itu menjulang trofi selepas menewaskan Paris Saint-Germain (PSG) di Stadium MetLife bulan lalu.

Trump juga sempat menyerahkan anugerah Bola Emas kepada bintang Chelsea dan England, Cole Palmer, walaupun kelihatan pemain itu agak terpinga-pinga dengan kehadirannya.

Selepas itu, Trump terus berada di atas pentas untuk menyerahkan pingat kepada para pemain sebelum menyerahkan trofi Piala Dunia Kelab serta turut meraikan kemenangan bersama pasukan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!