Bekalan air, elektrik Johor cukup untuk pelabur – Onn Hafiz

ISKANDAR PUTERI – Dakwaan kononnya Johor tidak mampu menyediakan bekalan air dan elektrik mencukupi kepada pelabur disifatkan sebagai fitnah berniat jahat untuk menjejaskan keyakinan pelabur asing.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, tuduhan tersebut sengaja dilemparkan untuk merosakkan usaha kerajaan negeri menarik pelaburan antarabangsa, khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
“Kita bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan dalam menyediakan kemudahan terbaik untuk pelabur.
"Malah, jawatankuasa khas membabitkan tiga Exco negeri diwujudkan bagi memastikan setiap projek diluluskan mengambil kira keperluan asas termasuk air dan elektrik.
"Oleh itu, apabila ada syarikat yang ingin membangunkan pusat data di Johor, kita akan teliti terlebih dahulu. Jika tidak cukup bekalan elektrik dan air, kita tidak akan luluskan permohonan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Projek Bandar Industri MBW Innexus serta Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di Invest Malaysia Facilitation Centre–Johor (IMFC-J), Forest City pada Rabu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. Turut hadir, Pengarah Eksekutif MB World Group Berhad, Datuk Rohman Ahmad.
Tambah Onn Hafiz, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk menggunakan bekalan air alternatif dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. bagi memastikan sumber air mencukupi.
Katanya, kerajaan negeri juga mempunyai pelan jangka panjang bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi memastikan bekalan air mencukupi sehingga tahun 2050.
“Johor sangat serius membawa masuk pelaburan ke negeri ini, dan kita akan pastikan pelabur berasa selamat kerana adanya bekalan air dan elektrik yang mencukupi.
"Bagi pihak yang cuba menangguk di air keruh, saya harap mereka berhenti kerana usaha ini bukan sahaja untuk membangunkan ekonomi Johor, tetapi juga memberi impak besar kepada negara,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


