Dron gergasi bantu bersihkan Everest

KATHMANDU – [DIKEMAS KINI] Najis manusia, silinder oksigen kosong, sisa makanan dan tangga yang dibuang antara ditinggalkan kumpulan pendaki di laluan menuju ke puncak Gunung Everest.
Pada setiap tahun, sherpa (malim gunung) ditugaskan membawa kira-kira 20 kilogram (kg) sisa sampah setiap seorang dan terpaksa mengharungi perjalanan mencabar selama empat jam untuk turun ke kem pangkalan.

Tetapi, musim pendakian pada tahun ini menyaksikan mereka dibantu dua dron gergasi SZ DJI Technology Co yang boleh menyelesaikan tugas pembersihan itu dalam tempoh singkat iaitu kira-kira enam minit.
Pesawat tanpa pemandu (UAV) itu digunakan untuk mengangkut sisa sampah dari Kem Satu yang berada pada ketinggian 6,056 meter dari paras laut ke kem pangkalan.
Antara pertengahan April dan Mei, dron kendalian Airlift Technology berpusat di Nepal telah menguruskan lebih 280kg sisa buangan.
Menurut Jawatankuasa Kawalan Pencemaran Sagarmatha (SPCC), dron tersebut adalah sebahagian daripada usaha untuk membersihkan kawasan cerun gunung yang digelar sebagai 'tempat pembuangan sampah tertinggi di dunia'.
Langkah mengerahkan dron bukan hanya mempercepatkan proses pembersihan malah mengurangkan risiko yang perlu dihadapi sherpa.
"Kami sangat gembira dengan adanya teknologi seperti ini. Kira-kira 70 peratus sisa sampah yang biasanya diangkut oleh pasukan saya kini diangkut dengan menggunakan dron," kata Lhakpa Nuru Sherpa, 33, yang telah menawan puncak Everest sebanyak 15 kali.
Lebih selamat
Puncak Everest setinggi 8,849m telah menyaksikan timbunan sisa sampah yang luar biasa sejak 1990-an terutamanya ketika musim pendakian yang bermula pada akhir April hingga hujung Mei pada setiap tahun.
Masalah itu dikatakan lebih teruk di tapak perkhemahan di altitud lebih tinggi yang lebih berbahaya buat sherpa.
Sejak 2019, tentera Nepal bersama kumpulan sherpa telah bekerjasama untuk membersihkan lebih 100 tan sisa buangan dari gunung itu dan beberapa puncak sekitarnya.
Sedekad yang lalu, Kathmandu turut melaksanakan peraturan yang menghendaki pendaki membawa turun sekurang-kurangnya lapan kilogram sisa sampah setiap orang atau bakal kehilangan deposit berjumlah AS$4,000 (RM16,890).

Fenomena perubahan iklim menambah lagi desakan untuk membersihkan Everest berikutan ais semakin cepat mencair di Glasier Khumbu yang terletak antara kem pangkalan dan Kem Satu, sekali gus berisiko mengakibatkan runtuhan bongkah ais.
"Di altitud rendah, Air Terjun Khumbu paling berbahaya kerana ia mula mencair pada akhir musim pendakian. Oleh itu, adalah lebih selamat jika dron digunakan untuk proses pembersihan itu," menurut Pengarah Asian Trekking, Tenzing David Sherpa.
Dron dihasilkan firma di China yang menelan kos AS$70,000 (RM295,575) sebuah itu berupaya terbang pada suhu -20 darjah Celsius dan menghadapi kelajuan angin melebihi 40 kilometer sejam.
Difahamkan, Airlift kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal untuk mencuba lebih banyak model dron di Everest dan gunung lain yang berketinggian kira-kira 8,000m berikutan sebanyak lima syarikat dari Amerika Syarikat (AS) serta Eropah telah menawarkan UAV mereka untuk sesi ujian. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

