Lori kren sebabkan kemalangan berantai di Jalan Kebun Teh Lama

JOHOR BAHRU - Sebuah lori kren dipercayai mengalami masalah brek merempuh beberapa kenderaan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kebun Teh Lama berhampiran sebuah restoran di sini pagi Isnin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan berantai melibatkan enam kereta dan dua motosikal itu berlaku kira-kira 9 pagi di Kilometer 3 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi menghala ke pusat bandar.
Beliau berkata, dalam kejadian itu tiada kecederaan jiwa dan hanya kerosakan kenderaan dilaporkan.
"Siasatan awal mendapati lori kren dipandu seorang lelaki berumur 49 tahun gagal dikawal apabila sistem brek tidak berfungsi ketika cuba memberhentikan kenderaan di persimpangan lampu isyarat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
