Polis tahan lelaki disyaki bakar rumah sendiri

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia 39 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden kebakaran dua buah rumah di Kampung Baru, Sungai Lalang, Bedong pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7 petang selepas pengadu menerima panggilan daripada ahli keluarga yang memaklumkan rumahnya terbakar.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati suspek yang juga adik kepada pengadu dipercayai bertindak membakar rumah tersebut selepas dikatakan mengamuk.
“Suspek yang tidak bekerja itu dipercayai memulakan kebakaran dengan membakar kertas menggunakan pemetik api di dalam rumah berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Hanyan berkata, kebakaran yang melibatkan rumah binaan papan dan bata itu turut merebak ke rumah jiran berhampiran menyebabkan kerugian harta benda.
Jelas beliau, suspek kini ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, media melaporkan dua buah rumah musnah dalam kebakaran yang berlaku petang Ahad mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

