Man-Tee mahu hapus badi China, Korea Selatan

Wei Chong (kiri) dan Kai Wun bertekad untuk menumpaskan pasangan China dan Korea Selatan dalam saingan Badminton Dunia di Paris akhir bulan ini. Foto Agensi
Wei Chong (kiri) dan Kai Wun bertekad untuk menumpaskan pasangan China dan Korea Selatan dalam saingan Badminton Dunia di Paris akhir bulan ini. Foto Agensi
A
A
A

PEMAIN beregu badminton lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun ada impian besar apabila mahu memecahkan halangan tembok besar China dan Korea Selatan pada Kejohanan Dunia di Paris hujung bulan ini.

Wei Chong bersama pasangannya Kai Wun belum pernah memenangi sebarang perlawanan ke atas dua pasangan Korea Selatan, Kim Sa-rang dan Kim Gi-jung serta Kim Won-ho dan Seo Seung-jae yang berada dalam laluan mereka ke suku akhir serta beregu utama China, Liang Wei Keng-Wang Chang.

Meskipun badi kekalahan kepada dua gandingan handalan dunia itu masih belum terlerai, namun Wei Chong ingin menjadi kejohanan berprestij tersebut sebagai pentas terbaik untuk mereka memburu kemenangan pertama di pentas dunia.

"Pencabar utama, saya rasa beregu China dan Korea. Sebab kami belum menang lagi. Bagi Aaron (Chia)-(Soh) Wooi Yik dan (Goh) Sze Fei-Nur Izzuddin (Rumsani) mereka sudah mengatasi mereka.

"Jadi saya tidak pasti untuk mereka siapa beregu yang menjadi cabaran buat mereka. Kalau untuk saya memang beregu China dan Korea." kata Wei Chong ketika ditemui media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Jumaat.

Pasangan nombor tujuh dunia itu mendapat bye pada pusingan pertama sebelum diramal bakal menentang pasangan tuan rumah yang kerap memberi kejutan, Christo Popov-Toma Junior Popov di pusingan kedua.

Sekiranya mara, mereka mungkin berdepan Ben Lane-Sean Vendy dari England atau gandingan Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang di pusingan ketiga sebelum berpotensi menentang pasangan nombor satu dunia Won-ho dan Seung-jae yang sering menjadi batu penghalang buat ramai beregu lelaki negara.

Wei Chong bagaimanapun enggan memandang mudah cabaran awal, apatah lagi Popov bersaudara akan beraksi di laman sendiri.

"Popov memang lawan yang kuat, mereka juga bermain acara perseorangan dan itu mungkin beri sedikit kelebihan kepada kami dari segi keletihan mereka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada penampilan sulung di Copenhagen, Denmark 2023, mereka terkandas di pusingan ketiga selepas tunduk kepada Wei Keng-Chang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!