Wanita hamil cedera, kereta terjunam dalam longkang

KUALA SELANGOR - Seorang wanita yang sedang mengandung cedera selepas kereta Nissan Almera yang dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Karang berdekatan Taman Radin Mas, di sini pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.01 pagi sebelum sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang dikejarkan ke lokasi.
“Jentera bomba tiba empat minit kemudian dan mendapati kereta jenis Nissan Almera berada di dalam longkang.
“Mangsa, yang merupakan wanita mengandung, telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba dan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.13 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

