Buat kenyataan awam, 27 penjawat awam kena tindakan tatatertib

KUALA LUMPUR - Seramai 27 penjawat awam berdepan tindakan tatatertib kerana membuat kenyataan awam termasuk mengkritik dasar kerajaan pada tahun lalu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, kes itu direkodkan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berdasarkan data Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tahun 2024.
"Seseorang penjawat awam adalah tertakluk kepada Surat Aku Janji sebagaimana yang diperuntukkan dalam Subperaturan 20(3), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2012.
"(Menerusi) Surat Aku Janji tersebut, setiap pegawai awam bertanggungjawab untuk mematuhi segala peraturan termasuk Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Perintah-Perintah Am, pekeliling, surat pekeliling, peraturan dan arahan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa sepanjang tempoh perkhidmatannya dengan kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman web Parlimen pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai jumlah bilangan penjawat awam yang dikenakan tindakan disiplin kerana menyuarakan pandangan atau kritikan terhadap dasar-dasar kerajan dan apakah kerajaan akan menyemak semula garis panduan kebebasan bersuara dalam perkhidmatan awam
Dr Zaliha menegaskan, kenyataan awam yang dibuat tanpa kawalan terutamanya yang melibatkan ketepatan data boleh menyebabkan kegelisahan awam yang tidak wajar.
"Setakat ini, kerajaan berpandangan peraturan sedia ada wajar dikekalkan bagi memastikan pegawai awam sentiasa menjaga tatakelakuan seperti yang ditetapkan,” katanya.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 20 Julai lalu mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai Himpunan Turun Anwar di ibu negara.
Katanya, tidak sewajarnya penjawat awam menyertai perhimpunan berkenaan kerana tindakan itu tidak sesuai dengan prinsip Kesetiaan Kepada Raja dan Negara yang terkandung dalam Rukun Negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

