Model bawa bendera Palestin di pentas Copenhagen Fashion Week

COPENHAGEN – Minggu Fesyen Copenhagen Musim Bunga/Panas 2026 yang berlangsung di ibu negara Denmark minggu ini bukan sahaja mempamerkan pelbagai gaya unik termasuk beg rotan, topi kait dan selipar pereka, malah turut menyaksikan momen menarik yang mencuri tumpuan penonton.
Pada pertunjukan fesyen jenama Finland, Marimekko yang diadakan di kawasan industri berhampiran pelabuhan bandar itu pada 7 Ogos lali, model dan pemuzik dikenali sebagai Jura menarik perhatian apabila mengeluarkan bendera Palestin dari poketnya ketika berjalan di atas pentas.
Bendera itu tertera mesej “Act Now Against Genocide” (Bertindak Sekarang Menentang Pembunuhan Beramai-ramai) sambil Jura mengenakan gaun mini bercorak bunga.
Selepas pertunjukan itu, Jura memuat naik kenyataan di Instagram yang menyatakan bahawa isu Palestin harus diberi tumpuan masyarakat dunia.
“Jika kita membiarkan Israel melenyapkan Palestin sekarang, itu bermakna kita menerima hakikat bahawa golongan paling kaya di dunia akan menentukan minoriti mana pula yang bakal menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.
"Apa yang berlaku kepada Palestin adalah masa depan semua orang," tulisnya.
Beliau turut menggesa orang ramai menggunakan platform masing-masing untuk bersuara, sebagaimana yang dilakukannya di pentas peragaan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

