Pelajar 13 tahun di Sumatera maut ditikam murid 9 tahun

RUPIT - Seorang murid menikam pelajar yang empat tahun lebih tua daripadanya sehingga meninggal dunia dalam kejadian menggemparkan pada Jumaat lalu.
Pelaku dikenali sebagai GN, 9, murid kelas empat sekolah dasar (SD) di Kabupaten Musi Rawas Utara (Muratara), Sumatera Selatan, Indonesia, manakala mangsa, Riski, 13, ialah pelajar Madrasah Tsanawiyah.
Laporan awal menyebut GN menikam Riski dengan gunting, namun hasil siasatan polis mendapati kesan luka pada leher kiri mangsa disebabkan oleh senjata tajam jenis pisau.
“Maklumat awal yang kami peroleh mendapati insiden bermula dengan perkelahian. Mangsa sempat dikejarkan ke Puskesmas Pauh, namun disahkan meninggal dunia. Punca mereka bertengkar masih disiasat dan pelaku sudah ditahan tanpa sebarang insiden,” kata Kasat Reskrim Polres Muratara, Iptu Nasirin.
Difahamkan, kedua-duanya sering bermain bersama berikutan rumah keluarga mereka terletak di kampung bersebelahan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

